Home Berita Dalami ilmu, pengetahuan politik untuk fahami keperluan politik semasa – Dr Yusof

Dalami ilmu, pengetahuan politik untuk fahami keperluan politik semasa – Dr Yusof

Dr Yusof menerima cenderahati daripada Nurfasiha Masri, Ketua Beliawanis PGRS Sindumin

SIPITANG:  Datuk Dr Yusof Yacob mahu pemimpin di semua peringkat bahagian itu hingga ke akar umbi terus mendalami ilmu dan pengetahuan politik.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sindumin itu berkata ia perlu agar mereka dapat memahami keperluan politik semasa.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, pemahaman mengenai politik semasa itu penting agar perjuangan parti yang digariskan oleh pucuk pimpinan sama-sama dicapai.

“Ilmu politik itu sangat kompleks dan bukan mudah dipelajari. Sebab itu perlu ada kefahaman kalangan pemimpin samada di bahagian, sayap-sayap dan cawangan dalam mencapai matlamat atau visi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Bengkel Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi PGRS Bahagian N.35 Sindumin di Kompleks Kebudayaan Lundayeh Sipitang, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin Datuk Ir Mustapa Kassim.

Bengkel dua hari ini dianjurkan Beliawanis PGRS Sindumin dihadiri 428 peserta kalangan Ketua Cawangan, Ketua Sayap Cawangan, Setiausaha Cawangan, Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan juga AJK Sayap Bahagian Sindumin.

Dr Yusof berkata, sebab itu ketua-ketua di peringkat bahagian dan sayap-sayap parti perlu sentiasa memberi kefahaman kepada pemimpin dan ahi-ahli di akar umbi mengenai ilmu politik menerusi pelbagai platform termasuk menerusi penganjuran bengkel.

“Menerusi penganjuran bengkel ini, mereka diberi kefahaman mengenai visi dan matlamat hala tuju parti termasuk dalam membuat persiapan menghadapi Plihan Raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan pentingnya kesepakatan kalangan pemimpin dan ahli-ahli dalam sesebuah parti politik.

Menurutnya, tiadanya kesepakatan khususnya kalangan pemimpin boleh menyebabkan sesebuah parti itu berpecah belah.

“Sejarah politik di negara ini khususnya di negeri ini telah menunjukkan tiada kesepakatan kalangan pemimpin dalam sesebuah parti menyebabkan berlaku pecah belah,” katanya sambil menambah ia perlu dijadikan iktibar untuk sama-sama mengukuhkan kesepakatan kalangan pemimpin di semua peringkat agar parti itu terus relevan dengan keperluan rakyat.

Exit mobile version