Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) bersama Timbalannya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menggunakan Virtual Reality untuk menyaksikan kisah sejarah Rasulullah SAW sempena Pembukaan Festival Soul to soul 2.0 di SICC pada Sabtu.
KOTA KINABALU: Festival Soul to Soul perlu diperluaskan ke daerah lain di negeri ini agar lebih ramai rakyat dapat menyertainya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ini kerana katanya, program ini telah disusun dengan pelbagai aktiviti, modul dan pengisian yang berbentuk kerohanian serta ilmu yang bermanfaat kepada seisi keluarga.
Beliau berkata, penganjuran festival yang antara objektifnya adalah membimbing masyarakat mengenal dan mencintai Allah dan Rasul melalui aktiviti yang dijalankan serta meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama, amat penting dalam keadaan dunia yang semakin memcabar ini.
“Jika kita lihat pada masa ini, terlalu banyak program yang berbentuk hiburan sematamata , yang disajikan kepada masyarakat yang boleh menyebabkan kelalaian.
“Justeru, penganjuran program berbentuk kerohanian dan keagamaan seperti Festival Soul to Soul ini, sangat dialu-alukan, dan jika boleh diperluaskan ke daerah lain.
“Dalam masa sama, wujudkan kerjasama dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan dalam menganjurkan program seperti ini,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Festival Soul To Soul 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata forum berkaitan kepentingan institusi kekeluargaan yang turut diadakan sempena festival sudah pasti memberi manfaat besar terutama dalam keadaan hari ini.
“Kita semua percaya, bahawa kejayaan sesuatu kaum atau sesebuah masyarakat, bermula daripada sebuah keluarga. Jika sesebuah keluarga itu baik, berdisiplin, bertataetika, maka akan terbentuklah juga ahli masyarakat yang baik, berdisiplin, bermoral dan bertataetika.
“Sebab itu, dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini, kekuatan institusi keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negeri dan negara. Tanpa institusi keluarga yang kukuh, masyarakatnya akan turut rapuh dan akhirnya rakyat dalam negara tidak akan sempurna.
“Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pembentuk masyarakat yang bakal dibina, yang mana rakyatnya kukuh dalam nilai agama dan mempunyai tahap etika yang tinggi,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukan sahaja menekankan aspek pembangunan ekonomi dan kemajuan hidup rakyat, tetapi lebih khusus, pembangunan modal insan sebagai persediaan aset masa hadapan negeri dan negara.
“Program seperti Festival Soul to Soul ini, saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada program pembangunan modal insan, kerana ia juga terarah kepada mendidik dan membentuk jiwa masyarakat, agar menjadi anggota masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan.
“Dalam masa sama, kita juga menginginkan rakyat di negeri bertuah ini, bukan sahaja berpendidikan dan berbudi pekerti tinggi, tetapi juga hidup dalam suasana harmoni, rukun dan damai tanpa mengira suku, budaya dan anutan agama,” katanya.
Festival anjuran Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah ini, bertemakan Festival Ilmiah Untuk Seisi Keluarga, melibatkan banyak pengisian dalam mempromosikan cara hidup Islam yang sebenar dan pentingnya meningkatkan ekonomi Islam berpandukan Kitab Suci al-Quran dan Hadith SAW.