KOTA BELUD : – Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata penduduk Orang Asal telah wujud jauh sebelum zaman penjajahan, bersama-sama dengan kumpulan budaya lain semasa pembentukan negara bangsa kita.
Ahli parlimen Tuaran itu berkata sehingga kini, kita masih mengekalkan sebahagian ciri-ciri linguistik, budaya, dan masyarakat yang berbeza sedikit daripada penduduk sekitar dan budaya dominan negara.
Dalam konteks ini, Malaysia telah menyatakan komitmennya untuk menegakkan hak komuniti kita dengan mempersetujui pengesahan United Nations Declaration on the Rights of Indigenous People (UNDRIP) sejak 13 September 2007 lagi.
Deklarasi ini merangkumi pelbagai hak, termasuk hak asasi, kehidupan dan keselamatan, budaya, agama dan bahasa, pendidikan, media dan pekerjaan, pembangunan dan penglibatan, hak berkaitan tanah dan sumber, serta pemerintahan sendiri dan undang-undang asal.
“Penting bagi semua pihak untuk sentiasa menegakkan hak dan kewujudan Orang Asal agar tidak terus diabaikan,” katanya pada perayaan Hari Orang Asal Sedunia di Kota Belud pada Khamis.
Salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan menyokong sepenuhnya sambutan seperti Hari Orang Asal Sedunia.
“Hari ini, saya telah menyertai sambutan ini di Kadamaian Square, Kota Belud, yang bertujuan memupuk perpaduan, keusahawanan, dan koperasi dalam kalangan Orang Asal selain memupuk kesedaran di kalangan kita semua,” katanya.
Sambutan ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan etnik, demonstrasi dan jualan kraftangan, serta pertandingan masakan tradisi.
“Ini bukan sahaja memberi peluang kepada semua untuk mengenali dan menghargai warisan budaya etnik-etnik di dalam golongan Orang Asal, tetapi juga memperlihatkan keunikan dan kekayaan yang kita bawa kepada masyarakat di Malaysia.”
“Saya percaya melalui penyertaan para pemimpin dan pelbagai persatuan-persatuan etnik yang hadir hari ini kita dapat melihat komitmen yang jelas dalam memperjuangkan hak dan kebajikan kita sebagai Orang Asal, ” Madius berkata