Oleh Vitalis G Bingkasan
Kehadiran skuad tenis Sabah disambut pegawai-pegawai SUKMA di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuching, kelmarin.
KUCHING: Pasukan tenis Sabah bertekad bersaing habis-habisan memburu pingat pada SUKMA XXI Sarawak.
Pertandingan tenis yang menawarkan enam pingat emas dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Petra Jaya di sini bermula esok (16 Ogos) hingga 22 Ogos.
Sabah yang diwakili skuad penuh 12 atlet (enam lelaki dan enam wanita) akan menyertai semua enam acara yang dipertandingkan iaitu berpasukan, bergu campuran, bergu lelaki, bergu wanita, perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.
“Skuad tenis Sabah hadir di sini selepas dua minggu latihan keras dan intensif di bawah jurulatih Tito (Latoja) dan Shamsudin (Mustamin).
“Pasukan dianggotai 12 pemain…enam lelaki dan enam wanita untuk menyertai semua acara yang dipertandingkan. Sabah akan cuba sedaya upaya untuk memburu pingat,” kata presiden Persatuan Tenis Sabah (STA), Johnson Koh dalam kenyataannya hari ini.
Atlet lelaki terdiri daripada Braylen Odell Johaness, Isa Ueno Dares Saham, Mohamad Asyahme Haffiezi Suhaili, Rus Zareef Hazmy Rus Hilmy, Ryan Chee Shao Yang dan Samuel Benjamin Guansing.
Atlet wanita pula terdiri daripada Chow Yi Ling, Elena Mishra Manoj, Hannah Hii Xiang Hui, Jashnavissri a/p Uigneswaran, Kyra Vamsikrish dan Miza Rasyidah Zakirah Mohd Rasyid.
Koh dan pengurus pasukan, Christopher Lim turut bersama pasukan tiba di sini pada Rabu.