Home Berita Sukan Wushu tingkatkan harapan warna pingat

Wushu tingkatkan harapan warna pingat

SEMANGAT…Tiga finalis atlet sanda wushu Sabah, Dione (dua dari kiri), Fyenlly (tengah) dan Amirah (dua dari kanan) bersama jurulatih, Alex Fong (kiri) serta Ronald (kanan).

Oleh Vitalis G Bingkasan

KUCHING: Harapan warna pingat dari tiga atlet wushu Sabah meningkat ke pingat emas atau perak selepas mereka berjaya melepasi  pusingan separuh akhir  hari ini untuk menempah tempat ke final acara sanda SUKMA Sarawak XXI.

Tiga atlet yang sudah menjanjikan pingat itu ialah Amirah Sofea Azlan, Dione Babyline Fely dan Fyenlly Himon.

Pengurus pasukan, Ronald James Tee Chee Xiang berkata, ia adalah pencapaiaan di luar jangka kerana sandaran utama hanya dua iaitu Amirah dan Fyenlly.

“Sekarang kita ada tiga finalis dalam acara sanda dan tentunya ini sangat menggembirakan.

“Sasaran pasukan sanda kita adalah tiga pingat dan ia sudah dicapai selepas tiga atlet ini berjaya ke separuh akhir untuk sah sudah ada pingat gangsa dalam genggaman.

“Sekarang harapan warna pingat meningkat selepas kemenangan di separuh akhir ini. Ia kini sama ada pingat emas atau perak…kami kini bertekad buru warna pingat yang lebih baik..kami akan cuba beri yang terbaik,” kata Ronald.

Pertarungan separuh akhir hari ini menyaksikan Amirah mengalahkan Intan Nur Alysha Sauty (Terengganu) dalam  kategori 48kg wanita. Lawannya di final ialah peserta Selangor, Batrisya Izzati Mohd Nasir.

Dione pula menang ke atas Lim You Mei (Johor) kategori 52kg wanita untuk berhadapan seorang lagi peserta Selangor di final, Felicity Wong Xin Nee.

Sambil itu, Fyenlly menewaskan Muhd Baihaqi Himi Mohd  (Terengganu) kategori 52kg lelaki untuk membuat perhitungan terakhir di final menentang peserta tuan rumah Sarawak, Bong Shien Hiu.

Final dijadualkan berlangsung esok (16 Ogos) di venue sama di Stadium Wushu di sini.

Sehingga artikel ini ditulis, Sabah belum meraih sebarang pingat.

Exit mobile version