Home Berita Sukan Kejayaan wushu penyemarak semangat: Mansur Asun

Kejayaan wushu penyemarak semangat: Mansur Asun

Oleh Vitalis G Bingkasan

KUCHING: Chef de Mission kontinjen Sabah, Datuk Mansur Asun melihat kejayaan skuad wushu menamatkan saingan dengan tiga emas dan satu perak sebagai penyemarak semangat kepada pasukan lain memburu pingat pada SUKMA Sarawak XXI.

“Syabas kepada skuad wushu. Mereka telah melaksanakan tugas dengan baik malahan melepasi satu emas yang kami sasarkan.

“Ini tentunya penyemarak semangat kepada pasukan lain dan saya harap petanda baik untuk Sabah mengutip lehih banyak pingat seterusnya merealisasikan buruan 40 pingat emas yang kita sasarkan,” kata Mansur yang turut menyaksikan final wushu melibatkan peserta Sabah.

Pingat emas wushu dimenangi Amirah Sofea Azlan dalam acara sanda 45-48kg wanita, Dione (sanda 48-52kg wanita) dan Fyenlly Himon (sanda 48-52kg lelaki) manakala perak dimenangi Ericson Bong (toulu gunshu lelaki).

Sambil itu, Sabah turut menang satu lagi gangsa hari ini dari sukan boling padang menerusi pasukan berempat wanita yang dianggotai Adilah Juatine, Nur Zarifah Wajihah Zaidi, Nuremilda Jazeemi Jali dan Nurnajmi Jannah Jali.

Mereka menewaskan pasukan Kedah 10-7 pada penentuan pingat gangsa di Arena Boling Padang Petra Jaya, di sini.

Sehingga artikel ini ditulis, Sabah telah mengumpul tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Beberapa lagi pertandingan diteruskan esok sebelum upacara perasmian sukan dwi tahunan terbesar negara itu berlangsung pada sebelah malam di Stadium Sarawak, di sini.

Exit mobile version