Home Berita Sukan Lompatan Ku Yee sumbang emas pertama olahraga Sabah

Lompatan Ku Yee sumbang emas pertama olahraga Sabah

Emas pertama olahraga dari Ku Yee yang muncul jaguh lompat tinggi wanita SUKMA XXI.

Oleh Vitalis G Bingkasan

KUCHING: Saingan olahraga SUKMA Sarawak XXI bermula pagi ini dan ketika tumpuan diberikan kepada saingan separuh akhir 100m lelaki dan wanita, di satu sudut, Ku Yee Leng diam-diam melakukan lompatan emas untuk Sabah dalam acara lompat tinggi wanita.

Ku Yee mencatat lompatan setinggi 1.64m untuk merangkul pingat emas yang juga pingat pertama Sabah dalam sukan olahraga pada SUKMA ini.

Bakal guru berusia 19 tahun dari Kunak itu mencatat ketinggian lompatan sama dengan pemenang pingat perak dari Pulau Pinang, Melissa En Xuan Choong tetapi kiraan semula memihak kepada Ku Yee.

Ku Yee diberikan kemenangan kerana berjaya melepasi ketiggian 1.64m pada percubaan kedua berbanding Melissa pada percubaan ketiga. Kedua-duanya gagal dalam percubaan ketinggian 1.67m.

Pingat gangsa dimenangi peserta Sarawak, Sylvia Nawan Anak Sa dengan ketinggian 1.54m.

Seorang lagi peserta Sabah, Nolaeska Kipolos juga mencatat ketinggian lompatan 1.54m tetapi diletakkan di kedudukan keempat berdasarkan kiraan semula yang memihak kepada peserta tuan rumah. 

Ku Yee yang kini adalah mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya Sabah berkata, pingat emas itu adalah bonus kerana dia tidak menjangkakannya terutama ini adalah SUKMA pertamanya dan rsaingan agak sengit dari Melissa.

“Saya percaya boleh menang pingat tetapi tidak menjangka dapat pingat emas kerana saingan agak sengit terutamanya dari Melissa.

“Saya sangat gembira dan pingat emas ini istimewa buat keluarga saya…emak, adik beradik, juga kepada juarulatih dan semua yang memberi sokongan kepada saya sehingga berjaya sampai di sini,” katanya.

Ku Yee berkata, panduan dan sokongan moral jurulatihnnya sepanjang pertandingan tadi juga banyak membantunya.

Lompatan emas Ku Yee itu adalah catatan peribadi terbaiknya di mana catatan terbaik sebelum ini hanya 1.61m yang dilakukannya semasa memenangi pingat emas Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022.

Exit mobile version