Tahniah…Pemenang-pemenang pingat muaythai Sabah.
Lubuk emas … Skuad muaythai, penyumbang pingat terbanyak Sabah di SUKMA Sarawak XXI setakat ini dengan lima emas, tiga perak dan dua gangsa. Pertandingan muaythai telah selesai berlangsung di Dewan Paragon Bintulu pada 15-20 Ogos.
Oleh Vitalis G Bingkasan
KUCHING: Pencapaian cemerlang muaythai Sabah di SUKMA Sarawak XXI sewajarnya menjadi inspirasi untuk memajukan lagi sukan itu dengan lebih giat.
Sukan muaythai yang telah menutup tirai pertandingan berlangsung di Dewan Paragon Bintulu pada 15-20 Ogos dan daripada 18 pingat emas yang ditawarkan, lima dimenangi Sabah di samping tiga perak dan dua gangsa.
Pencapaian itu jauh lebih baik berbanding SUKMA dua tahun lalu di Kuala Lumpur di mana Sabah hanya menang dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.
Lima emas, tiga perak dan dua gangsa yang dimenangi kali ini meletakkan Sabah di kedudukan kedua terbaik di kalangan 15 pasukan carta kutipan pjngat bagi sukan muaythai.
Sabah yang diwakili 20 atlet hanya dijarakkan perbezaan pingat perak dengan pasukan tuan rumah, Sarawak yang turut merangkul lima pingat emas tetapi berada di kedudukan teratas dengan kutipan pingat perak lebih baik iaitu empat di samping satu gangsa.
Di kedudukan ketiga ialah Perak dengan empat emas, satu perak dan satu gangsa (4e, 1p, 1g) diikuti Wilayah Persekutuan (2e, 4g), Selangor (1e, 1p, 3g), Terengganu (1e, 1g), Pulau Pinang (4p, 3g), Kelantan (3p, 1g), Melaka (2p, 3g), Johor (6g), Kedah (4g) dan Negeri Sembilan (3g) manakala tiada pingat dimenangi Brunei, Perlis dan Pahang.
“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian pasukan kami terutama dalam menyumbang pingat untuk Sabah. Pencapaia ini adalah bukti komitmen dan kerja keras semua pihak yang terlibat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membanu dan menyokong kami selama ini terutamanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah serta barisan jurulatih serta atlet yang begitu komited.
“Tahniah kepada semua pemenang pingat. Kejayaan ini bukan hanya mencerminkan kebolehan mereka tetapi juga memberikan inspirasi kepada semua peminat muaythai di Sabah bahawa kita ada kebolehan dalam sukan ini.
“Saya harap kejayaan ini akan menjadi dorongan kepada kita semua untuk lebih komited melahirkan jaguh-jaguh muaythai bukan sahaja untuk negeri tetapi juga negara,” kata jurulatihnya, Cyrille Dhillon Tahing.
Sambil itu, presiden Persatuan Muaythai Sabah, IR Nazri Ab Razak berkata, pencapaian membanggakan skuad muaytahi itu adalah hasil kerja keras dan perancangan baik program persediaan yang dilaksanakan barisan jurulatih.
“Persiapan rapi ini telah mebuahkan hasil dan sumbangan pingat kemai pada edisi SUKMA kali ini adalah yang terbanyak.
“Kita akan teruskan program latihan untuk menghadapi kejohanan lebih besar. Dalam masa terdekat ini, beberapa atlet kita akan menyarung jersi negara bagi menghadapi kejohanan dunia IFMA yang akan berlangsung di Bangkok Thailand pada September depan,” katanya.
Beliau berkata, usaha juga akan diteruskan bagi membolehkan skuad muaythai terus menjadi antara lubuk pingat untuk Sabah pada SUKMA akan datang.
Pemenang pingat emas Sabah pada SUKMA Sarawak XXI ialah Jezzevelle Myora Jerry/Myra Arina Roslan dalam acara seni duo mai muaythai wanita , Yan Jia Chi (seni solo wai kru lelaki), Eva Anatasia Warren (kombat 45-48kg wanita), Stacy Poong Dai Hee (kombat 54-57kg wanita) dan Helmi Samsir (kombat 67-71kg lelaki).
Pingat perak dimenangi Muhammad Iftikharsyahlan Roslan @ Zakaria (seni solo wai kru lelaki), Asyraf Danial Abdul Latif/Marshall Jayden Jerry (seni duo mai muaythai lelaki) dan Muhammad Rahmad Raman Ali Chanra (kombat 42-45kg lelaki).
Pingat gangsa pula dimenangi Nur Insyirah Mandol (kombat 42-45kg wanita) dan Efron Jaidin (kombat 57-60kg lelaki).