Home Berita Baca meter elektrik sendiri di Kiulu tidak lama lagi – Madius Tangau

Baca meter elektrik sendiri di Kiulu tidak lama lagi – Madius Tangau

Madius mempengerusikan mesyuarat SESB Tuaran berkaitan pelaksanaan Self Meter Reading di Kiulu.

TUARAN: Self Meter Reading (SMR) atau Bacaan Meter Sendiri akan diperkenalkan di daerah kecil Kiulu, di sini, sebagai projek perintis mengatasi cabaran bacaan meter elektrik di luar bandar.

Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau , berkata inisiatif SESB itu dilaksanakan dengan kerjasama pemimpin masyarakat tempatan.

Pelaksanaan inisiatif itu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, katanya dibincangkan pada mesyuarat SESB Tuaran yang dipengerusikannya, pada Khamis.

“Projek yang dikenali sebagai Self Meter Reading (SMR) ini merupakan inisiatif SESB untuk mengatasi cabaran-cabaran berkaitan pembacaan bil-bil elektrik terutamanya di kawasan perkampungan dengan topografi bentuk muka bumi yang mencabar dan akses perhubungan yang terhad.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan. Daerah Kecil Kiulu akan menjadi projek perintis bagi program ini,” katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook beliau.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Penolong Pegawai Daerah (ADO) bagi Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas Giswa; Ketua Daerah, OKK Kumin Gapbai; wakil UPPM Kiulu, Stanley Gilu dan Pegawai Jabatan Penerangan Sabah.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata pelancaran program itu dijadualkan pada 27 Ogos ini.

“Saya berharap, dengan doa dan usaha kita bersama, projek perintis ini akan berjalan lancar sebelum diperluaskan di kawasan lain sekali gus memberikan manfaat kepada pengguna sekalian,” katanya

Exit mobile version