Home Berita Sukan Kejayaan Eidelweiss wajar dibanggakan, menang untuk Sarawak bukan isu

Kejayaan Eidelweiss wajar dibanggakan, menang untuk Sarawak bukan isu

Setiausaha Agung SKA, Julian Chin

Sebahagian anggota skuad karate Sabah yang membawa pulang dua pingat emas, tiga perak dan enam gangsa SUKMA Sarawak XXI.

Oleh Vitalis G Bingkasan

KUCHING: Kejayaan atlet Sabah  Eidelwess Franzel Fancey Sami wajar dibanggakan dan ianya bukan isu  dia  menang emas untuk Sarawak pada SUKMA Sarawak XXI.

Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin berkata, selain Eidelweiss, beberapa lagi atlet negeri ini menyarung jersi negeri lain seperti Kedah dan Terengganu selepas mendapat perkenan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan SKA.

Disebabkan kuota dan tempat yang terhad, ianya suatu yang membangakan jika ada yang tidak terpilih mewakili negeri ini mendapat tempat di negeri lain.

Katanya, kemampuan  atlet negeri ini mendapat tempat di negeri lain juga adalah petanda baik bahawa pembangunan sukan di negeri ini berada di landasan baik.

Sehubungan dengan itu, SKA mengucapkan tahniah kepada Eidelweiss atas kejayaan memenangi emas kumite individu 68kg ke atas wanita sekaligus melakar sejarah menamatkan kebuntuan 24 tahun negeri jiran itu meraih emas karate SUKMA.

“Persatuan karate Sabah konsisten melahirkan atlet berkualiti menerusi pelbagai program dan kejohanan kerana pembangunan atlet sentiasa jadi keutamaan karate Sabah,” katanya.

Menurutnya, peluang Eidelweiss yang juga ahli Persatuan Karate Shotokan Sabah (SKAS), tipis mewakili Sabah selepas hanya menang perak ketika mewakili daerah Kuala Penyu pada Sukan Sabah (SAGA) 2023.

Eidelweiss tewas kepada karatekas Tambunan, Prisca Philip pada final kumite kategori -68kg individu.

“Ia mengurangkan peluangnya mewakili Sabah ke SUKMA 2014 kerana hanya ada satu kuota.

“Bagaimanapun, pada 8 Februari 2024, MSN Sabah menerima surat permohonan dari MSN Sarawak untuk mendapatkan pelepasan empat karatekas Sabah termasuk Eidelweiss.
“MSN Sabah dan SKA telah bersetuju untuk membenarkan Eidelweiss dan atlet lain itu mengintai peluang di Sarawak sebagai usaha memberi lebih ruang dan peluang kepada atlet muda berbakat negeri ini memajukan diri menerusi kejohanan berprestij ini,” katanya.

Mengenai abang Eidelweiss, Frans Evans Fancey Sami yang turut tidak terpilih walaupun menang di SAGA, Julian berkata, perkara itu sudah diselesaikan semasa SKA berhubung dengan SKAS pada Januari 2024. Jawapan dan cadangan berhubung perkara itu juga telah diberikan kepada SKAS.

Sambil itu, skuad karate Sabah membawa pulang dua pingat emas, tiga perak dan enam gangsa dari SUKMA Sarawak XXI . Pertandingan karate berlangsung di Dewan IKBN Miri pada 17-19 Ogos dengan 17 pingat emas ditawarkan.

Pencapaian Sabah itu, ketiga terbaik di kalangan 15 pasukan. Wilayah Persekutuan di kedudukan teratas dengan empat emas, satu perak dan tujuh gangsa manakala Johor di tempat kedua dengan tiga emas, tiga erak dan empoat gangsa.

“Kami bangga dengan prestasi atlet yang telah memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan karate SUKMA Sarawak XXI.

“Kami juga harap lebih ramai orang Sabah teruskan sokongan dan menghargai atlet-atlet karate, jurulatih-jurulatih dan keluarga mereka yang telah berkorban masa dan  dedikasi  untuk membantu kejayaan skuad karate di SUKMA Sarawak 2024,” kata Julian.

Exit mobile version