Home Berita Antarabangsa Jokowi tunda ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur

Jokowi tunda ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur

Bandar baharu itu sebelum ini dijadualkan mula beroperasi sebagai pusat politik baharu negara pada 17 Ogos 2024, semasa Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79. – Foto AFP

JAKARTA: Presiden Joko Widodo sekali lagi menunda proses memindahkan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur sehingga lapangan terbang di situ beroperasi terlebih dahulu.

“(Kita) perlu melihat keadaan di lapangan kerana masih banyak perkara belum diselesaikan, seperti lapangan terbang,” katanya ketika lawatannya ke Yogyakarta, kelmarin.

Beliau yang mesra disapa Jokowi berkata, lapangan terbang diperlukan bagi memudahkan pergerakan ke pelbagai wilayah sejurus ibu negara Indonesia dipindahkan ke Nusantara kelak.

“Jika saya mahu ke Papua, Nusa Tenggara Timur atau Acheh (selepas perpindahan), ia perlu dari lapangan terbang di Nusantara,” katanya yang akan menamatkan penggal pentadbiran tidak lama lagi.

Ini bukan kali pertama Jokowi menunda perpindahan ke Nusantara.

Beliau awalnya dijadualkan mula bekerja di Nusantara pada Julai lalu, tetapi ditunda kerana belum dilengkapi infrastruktur utama untuk bekalan air dan elektrik.

Jokowi pada akhir Julai lalu, menghabiskan beberapa malam di istana presiden, manakala pentadbirannya berlumba menyelesaikan persiapan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pertama di Nusantara, yang turut menandakan pelancarannya di peringkat global.

Sambutan pada 17 Ogos lalu, dihadiri kira-kira 1,300 tetamu rasmi, termasuk anggota Kabinet.

Beliau mengetuai upacara mengibarkan bendera, diiringi penggantinya, Prabowo Subianto, yang berjanji meneruskan tradisi mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan akan datang di Nusantara. – AGENSI

NO COMMENTS

Exit mobile version