SANDAKAN : – Kerjasama erat antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sedang membuahkan hasil.
Hubungan di antara kedua-dua negeri Borneo itu perlu diteruskan bagi menjamin pembangunan yang lebih pesat, kata Datuk George Hiew Vun Zin, Ketua Bahagian N54 Karamunting Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Beliau menyeru ahli-ahli di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Karamunting untuk kekal bersatu padu dan mengelakkan perpecahan dalaman serta geseran politik yang hanya akan membawa kepada ketidakstabilan di kawasan itu dan Sabah secara keseluruhan.
“Sabah sedang berkembang pesat dan berada di landasan yang lebih baik berbanding dahulu, di mana negeri ini sering terjerumus dalam konflik politik. Rakyat sudah bosan dengan perebutan kuasa politik. Mereka hanya ingin hidup aman dengan kestabilan politik,” kata George dalam ucapannya di Mesyuarat Tahunan Bahagian PGRS 2024 bagi Bahagian N54 Karamunting, kelmarin.
Beliau juga menekankan bahawa semua pihak perlu mengetepikan ego masing-masing dan bersatu untuk memimpin Karamunting ke arah kemakmuran dan kemajuan.
Majlis yang dilancarkan oleh Naib Presiden PGRS, Datuk Masiung Banah itu dihadiri oleh kira-kira 350 orang, termasuk ramai pemimpin dan ahli parti.
Suasana penuh semangat ahli-ahli PGRS di sini menunjukkan kesediaan untuk terus memperjuangkan hak dan kemakmuran Sabah.
Turut hadir semasa upacara perasmian mesyuarat itu termasuk wakil-wakil daripada parti komponen Gabungan Rakyat Sabah, iaitu parti STAR Sabah dan USNO, serta wakil daripada PGRS bahagian Sekong yang hadir sebagai pemerhati mesyuarat