Hajiji disambut oleh ahli-ahli parti setibanya di Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman Tahun 2024 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Ahad.
Hajiji bersama pemimpin Gagasan Rakyat Bahagian Tuaran semasa Mesyuarat Tahunan bahagian itu di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Ahad.
HAJIJI…”Ramai juga yang tidak suka saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati.”
TUARAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini, termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya dan kerajaan pimpinannya, soal keadilan tetap menjadi pegangan beliau.
Katanya, atas prinsip itu, beliau berusaha sebaik mungkin memberikan layanan yang adil kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.
Malah, katanya beliau sendiri meluluskan permohonan pemimpin pembangkang yang memohon biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anak mereka atas dasar keprihatinan beliau terhadap anak-anak Sabah.
“Azis Jaman (Ketua Penerangan Warisan, Datuk MohdAzis Jaman) punya permohonan biasiswa untuk anaknya pun saya luluskan…apa lagi yang kita tidak buat. Saya adil apabila dia dan isteri datang jumpa di pejabat. Kerana keprihatinan saya, anak-anak itu mesti ditolong dan kita luluskan biasiswa untuk dia. Saya tidak pernah fikir hanya untuk ahli parti saya saja, tapi untuk semua.
“Ada juga anak pemimpin pembangkang lain yang mendapat kemudahan, kita bagi. Saya tidak sanggup (mengabaikannya). Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan sesiapa walaupun kita adalah kerajaan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Ahad.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata atas prinsip keadilan itu juga beliau mahu pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua cawangan, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga bertindak dengan adil.
“Mana-mana rakyat kita yang perlu bantuan di kampung, jangan pilih kasih, bagi maklumat yang betul kepada kerajaan atau kepada wakil rakyat.
“Ini prinsip saya pegang selama 35 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, tanyalah kawan-kawan di sini. Sebagai manusia, ramai juga yang tidak suka saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati”, katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan kritikan pembangkang terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini sebagai tindakan yang sengaja ‘membutakan mata’ kerana enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Hajiji memberi contoh, isu air dan jalan raya yang sering diperkatakan pembangkang ketika ini bukan masalah baharu, sebaliknya diwarisi daripada kerajaan sebelum ini berikutan beberapa tindakan tidak wajar yang dilakukan mereka.
Katanya, ia termasuk menukar syarikat konsesi sedia ada dengan syarikat lantikan mereka hingga kerajaan terpaksa membayar ratusan juta pampasan berikutan penamatan konsesi syarikat sebelum ini.
“Mereka sudah diberi kepercayaan, tapi apa mereka buat dua tahun setengah memerintah melainkan membalas dendam dengan memotong kontrak yang dilulus kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Masalah air dan jalan raya sekarang, apabila mereka ambil alih kerajaan, tiada lain dibuat selain memotong kontrak yang sudah ada perjanjian mengurus loji air atau jalan di kampung.
“Akibat pembatalan yang mereka buat itu, kerajaan terpaksa bayar beratus juta kepada konsesi ini. Mereka lantik kontraktor baharu dan itulahjadi tidak ketentuan. Contohnya, air paip masin di Sandakan, itu kontraktor lantikan mereka.
“Tapi, dalam media sosial kata GRS gagal. Siapa sebenarnya yang gagal, merekalah yang gagal. Sebab itu ketika mereka bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka kalah,” katanya.
Pengerusi GRS itu menyifatkan pembangkang hanya pandai bercakap besar dan menyalahkan kerajaan sekarang tanpa mempedulikan apa yang dilakukan mereka sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya keinginan pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah mimpi kerana beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai untuk memilih parti atau gabungan parti yang benar-benar mampu membawa Sabah ke arah kemajuan.