Home Berita Anwar hadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Sabah

Anwar hadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU : – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Sabah bersama barisan kepimpinan negeri di sebuah hotel di sini malam ini.

Anwar yang tiba pada jam 7.27 malam itu  diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun serta barisan Menteri Kabinet Kerajaan Sabah.

Turut hadir ialah Senator Tan Seri Anifah Aman dan para pemimpin tempatan

Esok Anwar dijadualkan akan menghadiri majlis Karnival Segalanya Felda di Felda Sahabat, Lahad Datu Sabah sebelum menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada sebelah petang.

Dijangka akan ada pengumuman penting mengenai kemajuan yang berjaya dicapai membabitkan pelaksanaan MA63 yang turut akan dihadiri oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal membincangkan beberapa isu tertunggak berkaitan MA63.

“Itu adalah mesyuarat MA63 yang akan dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Jadi kita berharap sangatlah kita dapat merungkaikan dan juga menjayakan beberapa isu dalam MA63.

“Memang ada lagi isu-isu yang tertunggak yang perlu diselesaikan dan banyak juga yang telah dilaksanakan. Jadi inilah tujuan mesyuarat itu diadakan,” katanya.

NO COMMENTS

Exit mobile version