Home Berita Sabah tetap pertahankan kedaulatan dalam Malaysia – Hajiji

Sabah tetap pertahankan kedaulatan dalam Malaysia – Hajiji

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyempurnakan simbolik perasmian Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA  KINABALU:  Sabah  tidak  akan  berganjak  walau  seinci,  malah  akan  tetap mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini selama-lamanya, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Pangllima Haji Hajiji Haji Noor.

Walaupun rakyat dan negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi, namun tegasnya semua itu tidak akan melemahkan semangat dan iltizam rakyat untuk terus  mempertahankan  Sabah  sebagai  sebahagian  daripada  wilayah  Persekutuan Malaysia.

“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya.

“ Keputusan  muktamad  Mahkamah Agung  di  Belanda,  yang  menolak  rayuan  yang difailkan  oleh  pihak  asing  baru-baru  ini,  merupakan  berita  baik  untuk  Sabah  dan rakyatnya.

“ Keputusan   muktamad   itu   sangat   penting   kepada   Sabah   kerana   ia   akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan Kerajaan. Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya sempena  Sambutan  Hari  Malaysia  Peringkat  Kebangsaan  Tahun  2024  di  Padang Merdeka di sini pada Isnin.

Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim dan   Kerajaan   Persekutuan   yang   telah   berusaha   bersungguh-sungguh   dalam mempertahankan hak-hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

Beliau berkata, di Padang Merdeka inilah  pada 16 September 1963, lebih enam dekad lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.
“ Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu. Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di kepulauan  Borneo  dengan  Semenanjung  Tanah  Melayu,  bagi  membentuk  sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

“ Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri ini, antaranya seperti Tun Mustapha bin Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan tepat, tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.

“ Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Hajiji  berkata,  pembangunan dan  kemajuan  negeri serta  meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertingkatkan  taraf  hidup   rakyat   khususnya  di   kawasan   luar   bandar  dan pedalaman,  beliau  berkata  sejak  lebih  enam  dekad  lalu,  Sabah  telah  mengalami perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Penyediaan dan menambah-baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini dan kita sedang melaksanakannya. Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang tercicir,  dan  tiada  rakyat  yang  terpinggir,  termasuklah  pelaksanaan  program  yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan; khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, infrastruktur dan tidak kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling hormat menghormati.

“ Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita bersama sejak sekian lama.  Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” katanya.

NO COMMENTS

Exit mobile version