Home Berita Kerajaan komited perkasa pembangunan pendidikan & infrastrukturnya

Kerajaan komited perkasa pembangunan pendidikan & infrastrukturnya

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr.Kasim Haji Mansor dan pegawai utama universiti bergambar bersama siswa siswi baharu UMS pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor UMS pada Selasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr.Kasim Haji Mansor dan pegawai utama universiti bergambar bersama siswa siswi baharu UMS pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor UMS pada Selasa.

KOTA  KINABALU:  Kerajaan  negeri  sentiasa  komited  memperkasa  pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan modal insan di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan bagi menyediakan pemimpin yang bakal mencorakkan masa hadapan negeri ini.

Beliau berkata, hanya  dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat  yang  akhirnya  menyumbang  kepada  kejayaan  dan  kecemerlangan  negara khususnya negeri Sabah.

“Kita tidak  mahu  ada yang terpinggir daripada  menerima  pendidikan  di  negeri  ini. Justeru,  dalam  aspek  akademik,  kerajaan  negeri  sentiasa  memastikan  anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang diberikan merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah hingga institusi pengajian tinggi”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi  2024/2025  kali  ke-30  Universiti  Malaysia  Sabah  (UMS)  di  Dewan  Canselor universiti itu pada Selasa.

Katanya, sejak tahun 1967 hingga Jun 2024, seramai 121,897 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan YS melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta.

Menurutnya, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan dan rintihan pelajar, buat julung kalinya telah memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600.00 seorang kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta.

Selain itu katanya, pada tahun 2023 kerajaan telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta.

Hajiji berkata, beliau telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS)-inisiatif baharu di  bawah  Hala Tuju Sabah  Maju Jaya  (SMJ) dalam  memperkasakan serta memudahkan  penyaluran  bantuan  kepada  anak  Sabah  terutama  pada  peringkat pengajian  tinggi  melalui  gabungan  kerjasama  badan  penaja  utama  dan  pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian dari inisiatif dan bantuan yang telah dirancang dan dilaksana oleh  kerajaan  negeri  bagi  membangunkan  modal  insan di  negeri  ini  melalui  pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.  Banyak lagi inisiatif, bantuan dan program yang telah dirancang bagi meningkatkan lagi keupayaan modal insan negeri ini agar Sabah lebih maju ke hadapan”, katanya.

Menurutnya, kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha  ke  arah  kemajuan  dan  peningkatan tahap  pendidikan tinggi  negara,  sesuai dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang  turut memberi penekanan kepada pembangunan  modal  insan selain sektor  perindustrian,  pertanian dan  pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini.

Beliau yang juga Pro Canselor UMS mahu universiti itu terus mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan  berinovasi  bagi  memenuhi  keperluan tenaga  kerja  mahir  untuk negara dan negeri Sabah.

“Justeru, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh kerjasama   dengan   pemain   industri   dalam   aktiviti   penyelidikan,   pembangunan, pengkomersialan dan inovasi”, katanya.

Hajiji   mahu   siswa   siswi   UMS   sentiasa   mematuhi   segala   peraturan   kampus, mendahulukan  tanggungjawab  sebagai  pelajar  serta  berusaha  dengan  gigih  untuk menjadi insan cemerlang serta menggunakan segala ilmu yang diperoleh di menara gading untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Exit mobile version