Andy (tengah) merasmikan Majlis Potensi Kanak-Kanak Tabika/Taska Kemas Peringkat Parlimen Kalabakan di Dewan masyarakat Tawau
Oleh: Nilam Raon
TAWAU: Isu pemilikan tanah dan premis bangunan antara kekangan untuk mewujudkan lebih banyak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Parlimen Kalabakan.
Ahli Parlimennya, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, Tabika KEMAS mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mahu pusat berkenaan diwujudkan lebih dekat dengan kawasan perumahan mereka.
“Namun agensi persekutuan tidak boleh membina bangunan di atas tanah atau kawasan yang dimiliki kerajaan negeri dengan sewenangnya dan ini antara isu yang berlaku.
“Contohnya terdapat permintaan daripada ibu bapa di penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gudang Empat untuk membina Tabika ini bagi kemudahan anak mereka namun sehingga kini belum dapat dilaksana,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata pada sidang media Majlis Potensi Kanak-Kanak Tabika/ Taska Kemas Peringkat Parlimen 191. Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau di sini pada Selasa.
Sehubungan itu beliau berharap agar isu ini dapat ditangani segera di antara agensi berkaitan dan kerajaan negeri bagi kemudahan pembelajaran anak-anak.
“Kita akan cuba berbincang dengan kerajaan negeri dan kementerian berkenaan supaya pemilikan premis Tabika KEMAS dapat dilaksanakan di PPR Gudang Empat,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu itu turut berharap agar usaha pemilikan premis bangunan Tabika Kemas juga dapat dipermudah bagi memudahkan urusan pembaikan prasarana dapat dilakukan dengan lebih lancar.
“Kita berharap kerajaan negeri dan persekutan dapat membuat satu keputusan ‘menang-menang’ demi kepentingan modal insan yang mahu dibentuk diperingkat pendidikan awal,” katanya lagi.
Semoga urusan membina Tabika Kemas di Kalabakan dapat mencapai keputusan yang menguntungkan semua pihak terutamanya kanak-kamal kecil…