SANDAKAN : – Selepas selesai menghadiri program di Padang Bandaran Sandakan semalam, Datuk Frankie Poon Ming Fung bersama pasukan, telah mengadakan lawatan kilat ke Jambatan 6 di Kampung Sim Sim untuk meninjau sendiri keadaan jambatan yang telah roboh dan terputus.
Kejadian ini telah menjejaskan pergerakan harian penduduk setempat dan menimbulkan risiko keselamatan yang perlu diberi perhatian segera. Poon telah mengarahkan pasukan teknikal untuk menjalankan penilaian serta-merta bagi memastikan langkah-langkah pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
“Kami komited untuk memastikan proses pembaikan dijalankan secepat dan sebaik mungkin. Keselamatan dan kesejahteraan penduduk adalah keutamaan kami, dan kami akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mengembalikan kemudahan ini ke keadaan asalnya dalam tempoh yang singkat,” kata Poon.
Pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat yang telah memberikan maklum balas dan kerjasama penuh dalam mengatasi masalah ini. Penduduk juga diingatkan untuk terus berhati-hati dan mengelakkan kawasan yang berbahaya sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.
Sebarang perkembangan lanjut mengenai pembaikan ini akan dimaklumkan kepada orang awam dari masa ke masa.