SANDAKAN : – Penduduk Kampung Gelam Laut, Karamunting, kini boleh menarik nafas lega selepas jambatan kayu sepanjang 60 kaki yang menghubungkan kawasan mereka ke surau dinaik taraf menjadi jambatan konkrit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata projek menaik taraf jambatan tersebut dilaksanakan menggunakan peruntukan ADUN sebagai tindak balas kepada aduan penduduk tentang keadaan jambatan kayu yang uzur dan berbahaya.
“Jambatan lama itu sudah rosak teruk dan tidak selamat untuk digunakan. Kami memutuskan untuk menaik tarafnya kepada jambatan konkrit bagi memastikan keselamatan penduduk yang menggunakannya setiap hari,” katanya.
Selain itu, George turut mengumumkan pemasangan sebuah lampu solar di kawasan berhampiran bagi memudahkan penduduk bergerak ke surau, terutamanya pada waktu malam.
“Pencahayaan yang baik adalah penting untuk keselamatan penduduk. Dengan lampu solar ini, kita berharap ia dapat memberikan keselesaan tambahan kepada mereka,” tambahnya.
Penduduk Kampung Gelam Laut menyambut baik usaha tersebut dan menyatakan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri melalui wakil rakyat mereka.
Projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan George untuk memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih baik bagi penduduk di kawasan Karamunting.