Keluarga Sangggi bersatu semula selepas terpisah lebih 100 tahun pada hari Keluarga Sanggi di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud.
Pengerusi Keluarga Sanggi, Badery Suod (tengah) Bersama Ir Awang Salleh (kiri) dan Musli Andalan (kanan) pada hari Keluarga Sanggi di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud
Keturunan Sanggi meliputi tiga kaum besar di Kota Belud iaitu Bajau Sama, Dusun Tindal dan Iranun.
KOTA BELUD: Kira-kira 120 tahun lalu, berlaku peristiwa pahit dalam keluarga Sangi @ Sanggi dari Kampung Rosok, di sini apabila dua anak daranya, Solungkoi dan Yakoi dilarikan dua jejaka berkuda selepas hubungan cinta berbeza agama dan bangsa tidak direstui Sagi.
Solungkoi dilarikan jejaka Bajau Sama dikenali Zakir ke Kampung Lugu-Lugu, manakala Yakoi yang jatuh cinta dengan pemuda Iranun dikenali Aliudin dibawa ke Kuala Pintasan.
Generasi Ketiga Sagi, Jusmenah Suin @ Abdul Samad berkata, mengikut ibu saudaranya, Justina Sukuk, ketika itu Solungkoi dan Yakoi sedang membasuh pakaian di sebuah sungai di kampung mereka dan tiba-tiba datang dua pemuda masing-masing menunggang mengajak kedua-dua ‘sumandak’ (gadis) naik kuda dan kemudian memecut ke kampung masing-masing.
“Sagi yang dimaklumkan mengenai kejadian itu, berusaha mengejar dua pemuda berkenaan dengan menunggang kerbau, bagaimanapun gagal kerana kedua-dua ekor kuda dipacu sangat laju.
Sagi kemudian mengarahkan anak lelaki sulungnya, Gebak untuk mencari kedua-dua adiknya, namun menghilang beberapa tahun sebelum kembali ke kampung halamannya memaklumkan ayahnya bahawa kedua-dua adiknya sudah bernikah dan memeluk Islam serta beliau sendiri pun sudah berkahwin dan turut memeluk Islam.
Sagi yang sangat marah, mengusir Gebak dan bersumpah tidak lagi mengaku ketiga-tiga mereka sebagai anak kandungnya.
“Itu kisah lama, kini kita kembali bersatu sebagai keluarga besar yang berkembang dari etnik Dusun Tindal kepada Bajau Sama dan Iranun. Kalau kita dakwa kes penculikan, itu keterlaluan kerana mereka menaiki kuda secara rela atas dasar cinta sama cinta.
“Kita lupakan sengketa lama dan memaafkan moyang kita Sagi atau di perkampungan Bajau Sama dan Iranun dikenali Sanggi. Gebak pula dikenali Lebak, Solungkoi (Ekoi) dab Yakoi (Indui).
“Cuma saya nasihatkan legasi Sagi masa kini, jangan lagi diulangi melarikan anak dara orang, sebaliknya kalau suka sama suka datang melamar, kalau pinangan ditolak ibu bapa, kekasih hati pandai-pandailah pujuk sampai diterima dan nikah secara baik. Bukan pula niat saya menyalahkan moyang kita, kerana semuanya ketentuan Ilahi.
“Cukuplah kita terpisah lebih 100 tahun, jangan lagi bertelagah dan akhirnya terputus silaturahim dan hubungan kekeluargaan mungkin 100 atau 200 tahun lagi belum tentu kita akan kembali bersatu,” katanya pada majlis perhimpunan Keluarga Sanggi Ke-3 di Kampung Rampayan Ulu, di sini, baru-baru ini.
Generasi Ketiga Sagi, Jusmenah Suin @ Abdul Samad (duduk, tiga dari kiri) bersama sebahagian keluarga besar Sanggi pada hari Keluarga Sanggi di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud.
Keluarga besar Sanggi meliputi pelbagai kaum dan agama pada hari Keluarga Sanggi di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud.
Perhimpunan dihadiri lebih 500 jurai keturunan Sagi meliputi generasi ketiga sehingga keenam.
Turut hadir, Penasihat Keluarga, Sanggi, Ladim Abdul Rahman; Pengerusi Keluarga Sanggi, Badery Suod; dan Pengerusi Penganjur, Ir Awang Saleh Makmud.
Hadir sama, Presiden Persatuan Iranun Sabah (Perisa), Datuk Almuddin Kaida; Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Prasekolah dan Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sabah, Raflee Mansor; Yang Dipertua Persatuan Guru Kaunseling Sabah, Musli Andalan dan tuan rumah, Ibadat Makmud.
Sanggi atau Sagi merupakan etnik Dusun Tindal dalam rumpun Kadazandusun namun zuriatnya berkembang kepada tiga etnik terbesar iaitu Bajau, Kadazandusun dan Iranun.
Ini berikutan berlakunya perkahwinan campur dalam kalangan tiga anaknya.
Walaupun susur galur keturunannya berbilang etnik dan berbeza agama namun hubungan kekeluargaan mereka berkekalan selepas disatukan semula tiga tahun lalu.
Badery berkata, usaha menjejaki dan menyatukan semula keturunan Sagi dimulakan sejak 10 tahun lalu dan hari keluarga pertama diadakan dua tahun lalu di Kampung Kayu Putih, di sini.
Katanya, pihaknya tiada halangan menjejaki keluarga di perkampungan Bajau dan Iranun kerana mereka tidak pernah terputus hubungan, namun ada sedikit kekangan di perkampungan Dusun Tindal.
“Mujur ada bapa saudara saya, Allahyarham Lawi Lebak iaitu generasi kedua Sanggi menjadi rujukan dan ini memudahkan usaha menjejaki keluarga ke perkampungan Dusun Tindal di Kampung Rosok. Sayangnya, Allahyarham tidak sempat menyaksikan keturunan Sanggi berkumpul kerana kembali ke pangkuan Ilahi, setahun sebelum Hari Keluarga pertama,” katanya.
Badery berkata, tiga anak Sagi memilih untuk memeluk Islam iaitu Gebak @ Lebak, Solungkoi @Ekoi dan Yakoi @ Indui, manakala tiga lagi kekal dengan agama asal mereka.
Beliau berkata, zuriat Gebak majoritinya menetap di Kampung Tamau, Lilud, Pintasan, Kayu Putih dan Rampayan Ulu dengan majoritinya etnik Iranun.
Sementara itu, keturunan Solungkoi pula sebahagian besar menetap di Kampung Labuan, Jawi-Jawi dan Lebak Engad, selain di Bengkongan, Kota Marudu; Kanibongan, Pitas dan Darau, Menggatal dengan majoritinya Bajau Sama.
Tiga lagi anak Sanggi memilih kekal tinggal di Kampung Rosok, iaitu kampung asal mereka.
“Mereka adalah keturunan Tingangau, Tianggah dan Sangong yang berbangsa Dusun Tindal, iaitu kaum asal moyang kami sebelum berkembang kepada etnik Bajau Sama dan Iranun.
“Keturunan Yakoi @ Indui pula majoritinya menetap di Kampung Pantai Emas dan kebanyakannya Iranun. Walaupun berbeza kaum dan agama, namun hubungan kekeluargaan kami sangat utuh,” katanya,
Sementara itu, Ladim berkata, mereka merancang membukukan salasilah keluarga Sanggi serta satu bengkel pengumpulan data keluarga dan pemurnian manuskrip akan diadakan tahun depan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua ketua keluarga mengambil bahagian untuk menjayakan bengkel berkenaan sebagai rujukan generasi keluarga Sanggi pada masa kini dan akan datang.
“Kami yakin buku ini bukan saja menjadi koleksi keluarga tetapi akan menjadi khazanah penting negara kerana sesuai menjadi rujukan pensyarah dan pelajar khususnya jurusan antropologi dan sosiologi di universiti awam dan swasta.
“Jika mahu melihat hubungan etnik ke arah pencapaian matlamat perpaduan kaum di Malaysia, buatlah rujukan dengan keluarga kami yang meliputi pelbagai kaum dan agama,” katanya
.