Wednesday, October 9, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Lindungi masyarakat Palauh, bukan bakar rumah dan bot mereka: Kanul Gindol

KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat Kanul Gindol berkata masyarakat Bajau Laut (Palauh) perlu dilindungi bukan dibakar rumah dan bot mereka.

Katanya laporan dan gambar/video agensi penguatkuasaan kerajaan mengusir masyarakat Palauh atau Bajau Laut di Semporna dengan cara meroboh dan membakar rumah serta bot mereka amatlah tidak bertamadun.

“Sangat kejam, tidak berperikemanusiaan dan kurang pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Kanul Gindol

Pengerusi Gindol Initiative for Civil Society Borneo itu berkata komuniti Palauh yang hidup dan menetap di laut di atas bot atau rumah-rumah tradisional mereka di atas atau pinggir laut adalah antara kumpulan paling rentan (vulnerable) dan terdedah kepada sebarang ancaman.

“Gaya hidup unik masyarakat ini di atas laut sudah wujud sejak sebelum pemerintahan moden wujud, dan kumpulan mereka bukanlah ramai sangat, ” katanya.

Menurut Kanul, masyarakat Palauh memiliki kehidupan ringkas dan mungkin hampir semua tidak memiliki dokumen diri.

“Saya berpendapat, dan ramai sependapat, jikapun mereka telah memasuki kawasan Taman Sabah di lautan Semporna dan gagal mematuhi notis lari meninggalkan ‘kawasan’ itu, tapi kakitangan kerajaan diarah meroboh dan membakar rumah serta bot-bot Palauh ini adalah tidak berperlembagaan dan tidak boleh dipromosikan sebagai kaedah SOP kerajaan bertamadun,” katanya.

Katanya gambar-gambar penguatkuasa ini hanya menggunakan tenaga tangan mereka untuk meroboh rumah komuniti itu membuktikan Palauh perlu dilindungi dan dituntun kepada kehidupan yang lebih baik dan tertib, mungkin boleh dipertimbang penempatan khas mereka di kawasan sekitar Semporna.

“Ke mana mereka hendak lari bawa anak isteri mereka?

“Sedangkan ikan jerung, buaya, anjing, kucing diberikan laluan merayau dalam banyak kawasan larangan dan mengganggu, inikan pula manusia / insan yang boleh dididik dan dibimbing dilayan begini buruk,” tegas Kanul.

Aktivis itu berpendapat tiba masanya kerajaan lebih pro-aktif mencari penyelesaian yang lebih baik kepada semua yang duduk sudah berkurun di bumi Sabah ini tak kira bangsa, bukannya mengambil tindakan sebegini yang merosak imej negara Malaysia dan Sabah.

“Kenapa memperguna sesetengah komuniti ketika mempromosi pelancongan dan keunikan Sabah tapi membakar rumah mereka bila mereka mahu dikorbankan untuk tujuan lain sesetengah pihak?,” katanya lagi.

Popular Articles