Home Berita Agenda pembangunan Hala Tuju SMJ nampak hasil positif – Hajiji

Agenda pembangunan Hala Tuju SMJ nampak hasil positif – Hajiji

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin bergambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan isteri masing-masing pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-71 Tahun di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Agenda pembangunan negeri yang berpaksikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan sudah menampakkan hasil positif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, setelah genap 4 tahun menerajui negeri, kerajaan dengan penuh keyakinan terus mara ke hadapan melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada beberapa sektor penting khususnya pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Beliau  berkata,  ketiga-tiga  sektor  ini  telah  melonjakkan  ekonomi  negeri  sehingga menarik pelabur ke Sabah, sekali gus membuka beribu-ribu peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Selain itu, katanya kerajaan turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan memperkasa kesejahteraan rakyat.

“Dengan sokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar-dasar dapat dilaksana, sesuai dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan pembangunan negeri Sabah”, katanya.

Beliau  berkata  demikian  dalam  ucapan  menjunjung  kasih  sempena  Majlis  Istiadat Pengurniaan  Darjah-Darjah  Kebesaran,  Bintang-Bintang  dan  Pingat-Pingat  Negeri Sabah sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke- 71 Tahun di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Hajiji berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Julai lalu, Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023.

Menurutnya, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion, merupakan ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus diperolehi daripada sektor pembuatan pada tahun lalu.

Katanya, kehadiran pelancong ke Sabah juga semakin meningkat iaitu seramai 1.7 juta pelancong setakat Januari hingga Julai 2024,  dengan pelancong tempatan lebih 1.05 juta dan antarabangsa  seramai 706,383 orang.

“Perkembangan ini jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus  menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun inidan masa-masa akan datang serta dapat mencapai sasaran seramai 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini”, katanya.

Beliau  berkata,  walaupun  pencapaian  dalam  tempoh  empat  tahun  pemerintahan dengan pelaksanaan lebih 3 tahun Hala Tuju SMJ sejak dilancarkan pada Mac 2021, namun banyak lagi yang perlu kerajaan lakukan.

Katanya, Kerajaan negeri terus bertekad memperhebatkan lagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif yang meliputi pelbagai sektor.

Menurutnya, Kerajaan negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy) iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk industri yang boleh dihasilkan daripadanya.

“Negeri Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, berpotensi  tinggi  untuk  penerokaan  dan  pembangunan  Ekonomi  Biru. 

Ke  arah merealisasikan usaha ini, kerajaan akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkaitan ‘The Blue Economy’, pada bulan ini”, tegasnya.

Hajiji   percaya   rakyat   bijak   menilai   fakta   pencapaian   kerajaan   hari   ini   yang bertanggungjawab bukan saja memikirkan, merancang malah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat.

Exit mobile version