Oleh Mohd Azrone Sarabatin
– Kadamaian atau nama lamanya Sorob dan Kebuyau, satu-satunya kerusi diwakil parti sama dalam PRN Pertama dan PRN16
– Ketua Menteri tewas di DUN Elopura
WALAUPUN Pilihan Raya Negeri (PRN) pertama Sabah hanya diadakan selepas empat tahun pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, sebenarnya Sabah ditadbir dua Ketua Menteri interim kerajaan sementara yang dilantik tanpa melalui proses pilihan raya umum, iaitu Tun Fuad Stephens, mulai 16 September, diikuti Tan Sri Peter Lo pada 1 Januari 1965.

Tan Sri Peter Lo

Tun Fuad Stephens

Tun Mustapha
Fuad kemudian meletak jawatan pada 1964 kerana menyertai Kabinet Persekutuan dan memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam sehingga tahun 1966 dan digantikan Peter Lo.
Peter Lo yang juga Presiden Persatuan Cina Sabah (SCA) kemudian tewas kepada calon Bebas, Yap Pak Leong dalam ‘pertarungan’ satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pertama Sabah pada April 1967.
Ini menyebabkan beliau kehilangan jawatan Ketua Menteri Sabah dan digantikan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tun Datu Mustapha Datu Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka-Banggi,
Ketika itu, SCA dan USNO bertanding dalam gabungan Parti Perikatan Sabah yang turut dianggotai Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UPKO).
Perikatan Sabah memenangi 31 daripada 32 kerusi dipertandingkan, manakala sebuah lagi dimenangi Bebas, iaitu Elopura.
Daripada jumllah berkenaan, USNO menawan 14 kerusi, UPKO (12), dan SCA (lima).
Bagaimanapun, selepas pilihan raya hanya USNO dan SCA menubuhkan kerajaan Sabah yang juga kerajaan Sabah yang pertama melalui proses pilihan raya umum secara langsung, manakala ADUN dari UPKO menyertai USNO menyebabkan parti itu dibubarkan pada Disember 1967.

KABINET Sabah pada 1967 hingga 1971. – Sumber Bahagian Kabinet & Dasar, Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negerri Sabah (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN pertama Sabah sudah dimansuhkan, bertukar nama, bertukar status sama ada kerusi DUN menjadi Parlimen atau sebaliknya, berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Ada juga kerusi yang dimansuhkan kembali dipertandingkan dalam PRN Ke-16 pada 2020, iaitu DUN Lamag dalam Parlimen Kinabatangan, manakala UPKO satu-satunya parti memenangi kerusi dalam pilihan raya pertama dan PRN16 walaupun pernah dibubarkan dan beberapa kali melakukan penjenamaan semula.

Datuk Ismail Gimbad
Kerusi berkenaan adalah DUN Sorob atau sekarang Kadamaian yang kali pertama dipertandingkan dimenangi Datuk Ismail Gimbad, manakala dalam PRN16 berjaya dipertahankan penyandangnya yang juga Presiden parti, Datuk Ewon Benedick.
USNO walaupun memenangi PRN pertama bersama SCA dan turut bertanding dalam PRN16 selepas dijenamakan semula, bukan saja gagal memenangi sebarang kerusi, malah hampir semua calonnya hilang deposit kecuali Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertanding di kerusi baharu, DUN Pintasan.
Berdasarkan maklumat daripada Arkib Negara Malaysia, jumlah pengundi Sabah dalam PRN pertama Sabah adalah 192,448 orang dengan 36 calon dari empat parti politik dan 26 calon Bebas telah bertanding untuk merebut 32 kerusi yang ditawarkan ketika itu.
Hari penamaan calon telah diadakan pada 8 Mac 1967 dan dua orang calon dari USNO telah menang tanpa bertanding, manakala 30 kerusi lagi dipertandingkan dengan pengundian berjalan dengan teratur tanpa sebarang peristiwa yang tidak ‘menyenangkan’ berlaku.

Pegawai pemerhati PRN Pertama Sabah dari lima buah negara Asia iaitu Sri Langka (Ceylon), India, Indonesia dan Jepun. – Sumber Arkib Negara Malaysia.
Peristiwa yang menarik dala
m Pilihanraya pertama Sabah adalah kehadiran 15 pegawai pemerhati dari lima negara Asia iaitu Sri Lanka (Ceylon), India, Indonesia, Jepun dan Thailand. Kehadiran mereka diundang khas oleh Kerajaan Malaysia untuk menyaksikan PRN pertama di Sabah selama 10 hari. Pemerhati ini telah dibawa ke 60 pusat mengundi dan dibenarkan menemu bual mana-mana pemimpin parti.
Berdasarkan maklumat daripada Laman Web Rasmi Pilihan Raya Negeri Sabah yang boleh dilayari menerusi https://ppn.spr.gov.my/, pilihan raya pertama Sabah diadakah empat tahun selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Kerusi-kerusi terawal dipertandingkan adalah DUN Kudat yang sekarang dikenali DUN Tanjong Kapor, manakala Kudat diwartakan sebagai kerusi Parlimen menggantikan Marudu mulai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.
Ini diikuti, Bengkoka-Banggi yang sekarang membentuk dua kerusi berasingan iaitu Banggi dan Bengkoka, seterusnyua DUN Langkon yang sekarang dikenali DUN Bandau. DUN Tandek dan Usukan masih wujud sehingga kini.
DUN Sorob dalam Parlimen Kota Belud pula tiga kali bertukar nama, daripada Sorob kepada Kebuyau dan sekarang Kadamaian. Menariknya, kerusi yang pernah menjadi kubu kuat UPKO, beralih kepada USNO dan kemudian ditawan, Parti Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diikuti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PKR, kini kembali diwakili UPKO sejak PRU-14 pada 2018.
Di Parlimen Tuaran pula dua kerusi awal iaitu DUN Sulaman dan Kiulu masih kekal sehingga kini, manakala DUN Jesselton Bandar dalam Parlimen Kota Kinabalu kini dinamakan DUN Api-Api, manakala DUN Tanjong Aru yang pernah menjadi kerusi Parlimen kini kembali menjadi DUN dalam Parlimen Putatan.
Kerusi DUN Moyog dalam Parlimen Penampang kekal sehingga kini dan kerap bertukar parti menjadi wakil rakyatnya, bermula UPKO, beralih kepada USNO dan kemudian ditawan BERJAYA. Ketika PBS memenangi PRN pada 1985 kerusi ini satu-satunya kawasan majoriti pengundi etnik Kadazandusun gagal ditawan parti itu, sebaliknya dimenangi PASOK menerusi Presidennya, Ignatius Stephen Malanjum.
DUN Papar yang turut dipertandingkan dalan PRN Pertama Sabah kini dikenali DUN Kawang, manakala Papar kini adalah kawasan Parlimen, manakala DUN Bongawan dan Kuala Penyu kekal sehingga kini, masing-masing dalam Parlimen Kimanis dan Beaufort.
DUN Labuan, kini menjadi Parlimen dalam Wilayah Persekutuan, manakala DUN Beaufort sekarang adalah DUN Klias, manakala Beaufort menjadi kawasan Parlimen menggantikan Limbawang.
DUN Tenom pula menjadi DUN Melalap, manakala Tenom dinaik taraf menjadi Parlimen menggantikan Ulu Padas, manakala DUN Keningau ketika ini adalah DUN Bingkor, manakala DUN Tambunan wujud sejak PRN Pertama Sabah.
DUN Sipitang-Ulu Padas pula menjadi DUN Sindumin serta Sipitang kini kawasan Parlimen, manakala Ulu Padas pula bekas kawasan Parlimen yang kini Parlimen Tenom. DUN Pensiangan-Sook pula ketika ini adalah DUN Sook, manakala Pensiangan kawasan Parlimen. Seterusnya, DUN Ranau yang kini meliputi tiga kerusi, iaitu DUN Kundasang, Paginatan dan Karanaan, manakala Ranau kini adalah kawasan Parlimen yang asalnya Parlimen Kinabalu.
DUN Elopura, Sugut dan Labuk masih wujud ketika ini, manakala Sandakan Bandar kini DUN Karamunting, manakala DUN Lamag yang dipertandingkan dalam PRN Pertama, kemudian dimansuhkan, kembali diwujudkan dalam PRN-16 lalu, manakala Kuala Kinabatangan adalah nama lama kerusi DUN Sukau.
DUN Lahad Datu pula sekarang adalah DUN Silam, manakala Lahad Datu adalah kawasan Parlimen menggantikan Silam. DUN Semporna pula adalah nama lama DUN Sulabayan, manakala Semporna kini kawasan Parlimen.
Dua lagi kerusi iaitu DUN Merotai dan Balung masih wujud masing-masing dalam Parlimen Kalabakan dan Tawau.
Berdasarkan maklumat daripada Laman Web Rasmi Pilihan Raya Negeri Sabah, penubuhan parti-parti politik di Sabah telah berkembang untuk tujuan menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Pada 1961, USNO, UPKO, Borneo Utara National Party (BUNAP) hasil gabungan United Party dan Democratic Party, Parti United Pasok Momogun dan Sabah Indian Congress telah bekerjasama dalam Parti Perikatan Sabah dan bertanding dalam Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Bagaimana pun, perselisihan faham sesama mereka berlaku selepas penubuhan Malaysia pada 1963.
Ketua Menteri Sabah, DUN diwakili, parti dan tahun pemerintahan sejak 1963 sehingga sekarang
1. Tun Fuad Stephens
16 September 1963 – 31 Disember 1964
Ketua Menteri Kerajaan Sementara dilantik oleh Perdana Menteri tanpa melalui pilihan raya
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Bersatu (UPKO)
2. Tan Sri Peter Lo
1 Januari 1965 – 10 Mei 1967
Ketua Menteri Kerajaan Sementara dilantik dilantik oleh Perdana Menteri tanpa melalui pilihan raya
Presiden Persatuan Cina Sabah (SCA)
3. Tun Datu Mustapha Datu Harun
Perikatan- USNO
DUN Bengkoka-Banggi
11 Mei 1967 – 31 Oktober 1975
Ketua Menteri Pertama Sabah melalui proses pilihan raya umum pertama Sabah pada April 1967
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)
4. Tun Said Keruak
Perikatan-USNO
DUN Usukan
1 November 1975 – 13 April 1976
5. Tun Fuad Stephens
BERJAYA
DUN Kiulu
14 April 1976 – 6 Jun 1976
6. Tan Sri Harris Mohd Salleh
BERJAYA
DUN Tenom
7 Jun 1976 – 15 Mac 1985
7. Tan Sri Joseph Pairin Kitingan
PBS
DUN Tambunan
22 April 1985 – 16 Mac 1994
(Penulis adalah bekas wartawan kanan Berita Harian dan penerima anugerah kewartawanan tertinggi Sabah, Anugerah Kewartawanan Kinabalu kategori Bahasa Melayu pada 2006).