Andi (dua kanan) ketika merasmikan Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Tawau di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Oleh Nilam Raon
TAWAU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah akan membuka dua lagi Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS Mart) di Tawau dan Lahad tahun ini.
Pembantu Menteri MIDE, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pada ketika ini ada lapan IKS Mart dibuka di negeri ini iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens, Beaufort, Ranau, Papar, Kota Marudu, Pasaraya Oceanus dan Tuaran.
Menurutnya, IKS Mart itu akan menjadi pusat bagi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memasarkan produk jualan mereka.
“Pembukaan IKS Mart ini sudah pasti akan memberi peluang kepada usahawan PKMS untuk menjual dan mempromosi produk dan meningkatkan hasil jualan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata ketika ditemui media pada Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Tawau di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini pada Sabtu.
Katanya, MIDE juga dalam usaha untuk membuka satu lagi taman perindustrian di kawasan pantai timur sebagai tambahan kepada taman perindustrian sedia ada.
“Kita juga akan membuka satu berdekatan antara Kota Marudu, Kota Belud dan satu lagi di pantai timur berkemungkinan di Tawau untuk membantu meningkatkan lagi industri kita dan menyediakan fasiliti kepada para pelabur untuk tingkatkan pelaburan.
“Taman perindustrian ini adalah peluang kita dengan pembukaan kota negara Indonesia yang dijangka berpindah ke Kalimantan. Ini akan membantu meningkatkan limpahan ekonomi setempat dan negeri,” katanya.
Andi berkata, MIDE dan kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu meluaskan pasaran produk tempatan ke pasar raya tempatan dan luar negeri Sabah dengan membuka Authentic Sabah Mart serta memperkenal logo Authentic Sabah dalam bentuk hologram.
“Tujuan cetakan hologram ini memberi identiti dan keunikan kepada produk buatan Sabah dengan kriteria tertentu antaranya Produk boleh menembusi pasaran tempatan, luar negeri atau eksport dan produk yang memenuhi piawaian pembungkusan yang ditetapkan oleh pasar raya,” katanya lagi.