Home Berita 3,000 Sahabat AIM Tawau dapat pinjaman sehingga Jun

3,000 Sahabat AIM Tawau dapat pinjaman sehingga Jun

Datu Mohd Noor (lima kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Andi pada majlis itu.

Oleh Nilam Raon

TAWAU (Selasa 1 Ogos): Seramai 3,000 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Tawau telah diberi pinjaman membabitkan wang sebanyak RM8.5 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengurus AIM Cawangan Tawau, Datu Mohd Noor Datu Bidin berkata, AIM Tawau memperuntukkan RM15 juta pinjaman kepada semua Sahabat di 10 blok dan 91 pusat seluruh Tawau dan Kalabakan pada tahun ini.

Menurutnya, AIM juga menjaga kebajikan dengan memberi 13 manfaat apabila menjadi Sahabat termasuk memberi perlindungan apabila ditimpa musibah, kematian dan sakit sehingga dimasukkan ke wad.

“Kita peruntukkan RM1,000 kepada Sahabat setiap tahun jika terlibat musibah dan begitu juga kita ada dana pendidikan, dana untuk projek pembaikan rumah apabila berlaku kebakaran yang boleh dipohon oleh Sahabat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Anugerah Usahawan Berjaya Amanah Ikhtiar Malaysia Tawau di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Menurutnya, Sahabat AIM bermula dari perniagaan kecil sehingga menjadi besar melalui pinjaman yang boleh dipohon setiap tahun selain penganjuran pelbagai kursus untuk membantu mereka menjadi usahawan berjaya.

“Bagi Sahabat yang pertama kali berdaftar dengan AIM mereka boleh meminjam sehingga RM5,000 dan boleh dibayar dalam tempoh tiga, enam, sembilan bulan atau setahun.

“Selepas itu Sahabat boleh meningkatkan pinjaman setiap tahun untuk tujuan mengembangkan perniagaan,” katanya.

NO COMMENTS

Exit mobile version