Home Berita Dua pemandu mabuk kena RM10,000

Dua pemandu mabuk kena RM10,000

Tiga tertuduh masing-masing menerima hukuman di Mahkamah Majistret Tawau.

Oleh Nilam Raon 

TAWAU (Rabu 2 Ogos): Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 dan penjara tiga hari atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mohammad Sairul Perre Aundry Abdullah, 30, dan Mohd Zulkifli Osman, 18, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000. 

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sim Hwa Seng di daerah Tawau, antara jam 12.55 tengah malam hingga jam 1 pagi pada 23 Julai lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah kedua-dua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kedua-dua tertuduh juga dikenakan hukuman penjara sebulan kerana didapati memandu kenderaan dengan tidak memiliki lesen memandu pada lokasi, masa, dan tarikh sama oleh Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mohammad Sairul juga dikenakan hukuman tidak layak memegang lesen memandu dalam tempoh dua tahun, manakala Mohd Zulkifli akan rujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman.

Sementara itu, seorang lagi lelaki warga asing, Muhammad Yassin Hassan,19, dihukum penjara dua bulan selepas terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki.

Tertuduh yang mengaku bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin didakwa mengikut Seksyen 52(2) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan maut di Batu 3 Jalan Apas pada 30 Januari lalu, jam 4.30 petang tetapi tidak melaporkan kejadian dalam tempoh 24 jam.

Semua pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

NO COMMENTS

Exit mobile version