Home Berita ‘Pengasuh taska dera kanak-kanak perlu dihukum’

‘Pengasuh taska dera kanak-kanak perlu dihukum’

Beverley bersama enam anaknya

Beverley Koh
Klip yang tular sejak Rabu

KOTA KINABALU (Khamis 10 Ogos): Sedih melihat masih lagi berlaku penderaan fizikal di Taman Asuhan Kanak-kanak di Sabah. Ia adalah tindakan kejam yang dilakukan oleh pengasuh yang sepatutnya memberi perlindungan kepada mereka.

Ketua Bahagian Wanita Kawang Parti Star Sabah Beverley Koh berkata, beliau sedih dengan kejadian penderaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun di sebuah taska di Penampang yang kisahnya tular beberapa hari yang lalu.

“Kejam. Walaupun sudah banyak kes dilaporkan, masih lagi ada taska yang tidak serik dengan menyalahi peraturan yang disediakan sebagai pengusaha. Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan yang tegas.

“Saya sangat memandang serius akan kes buli di kalangan pengasuh/guru sebab ia meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada anak yang didera,” katanya ketika mengulas isu penderaan ini, Khamis.

Katanya, amat malang sekali kanak-kanak yang didera bukan setakat dilihat secara fizikal, hingga nampak lebam pada bahagian tubuh. Secara automatik mangsa akan terkesan dari segi mental dan emosi.

Beverley memberitahu yang dia faham naluri dan emosi seorang ibu kerana dia sendiri ada enam anak di mana paling bongsu baru berusia empat tahun.

Sementara itu, Pertubuhan Paradigma Wanita Sabah (Awas) mahu pengasuh dan pengusaha sebuah taska di Penampang yang viral kerana didakwa mendera  seorang kanak-kanak lelaki, disiasat dan diambil tindakan tegas dengan segera.

Presidennya Winis Juani berkata, siasat dan dakwa pengasuh yang jelas bersalah dengan bukti klip yang sudah tular di seluruh media sosial sejak Rabu.

“Sila ambil tindakan dengan segera. Nama taska itu kini sudah rosak gara-gara tindakan pengasuhnya yang memukul kanak-kanak itu dengan kejam,” katanya.

Sejak Rabu, dunia maya dipenuhi dengan amarah netizen selepas melihat video di mana seorang budak lelaki berusia empat tahun didera dengan dipukul, ditampar, dilempang dengan buku dan pembaris oleh pengasuh di sebuah taska di Penampang.

Klip berdurasi dua minit 12 saat itu juga dikongsi ramai dalam aplikasi WhatsApp, Twitter dan Instagram. 

Klip yang diperolehi daripada CCTV taska itu dilihat oleh pihak yang memuat naik dalam Facebook dipercayai ibu kepada anak itu dalam keadaan emosi sedih, marah dan menangis.

Dalam video ibu itu boleh didengar: “Kesian betul anak saya. Ui buli tahan ko tarik rambut anak saya gitu. K**** punya perempuan. Tidak pernah saya memaki orang  macam ni aa. Buli tahan betul ko buat anak orang begitu. Bagus! Bagus! Kurang ajar betul begini. Kau benci sangatkah dengan anak saya?”

Melihat video di mana emosi si ibu yang jelas dalam keadaan kesedihan selepas melihat anaknya dipukul berkali-kali dengan tamparan dan dilempang dengan buku kemudian, kepala diketuk dan rambut ditarik meraih simpati dan kemarahan ramai.

“Buli tahan. Ada sudah biru-biru balik. Kasian betul anak saya. Adui ko tampar lagi muka dia…” kata suara dalam klip itu yang akhirnya menangis teresak-esak.

Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak itu yang ada kesan lebam dan biru di beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Selepas melihat rakaman itu, ibu bapa mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah juga memberitahu bahawa pengasuh taska terbabit membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari oleh bapa mangsa.

“Setakat ini kami menerima tiga laporan iaitu laporan daripada ibu mangsa, pengusaha dan pengasuh TASKA. Mangsa pula sudah dirujuk ke HQE II untuk pemeriksaan doktor,” katanya menambah dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurut Akta  Kanak-kanak 2001 penderaan fizikal adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

NO COMMENTS

Exit mobile version