Shalmon bersama AJK menerima hadiah daripada Chrisnadia.

KOTA KINABALU (Ahad 13 Ogos): Sunduan Nabalu yang memulakan cetusan idea membina Sekolah Adat Anak Negeri (SA) sejak lima tahun yang lalu menerima anugerah khas di majlis Hari Penghargaan Tahunan Kelab di sebuah resort di sini, pada Sabtu.
Pengasas SA yang juga Presiden Persatuan Pengamal Adat Sabah (Sunduan Nabalu) Shalmon Sanangan menerima anugerah khas itu daripada Presiden Kelab Masyarakat Prihatin Sabah Chrisnadia Sinam Teo.
Beliau menerima penghargaan berupa sandai, plak, sijil anugerah dan juga wang tunai RM1,000. Ini adalah anugerah khas bagi Sunduan Nabalu dan guru-guru yang bekerja keras tanpa gaji sejak sekolah adat dibina.
Menurut kenyataan hari ini, anugerah diberi berdasarkan kepada pencapaian Sunduan Nabalu membangun pendidikan adat budaya sehingga Sekolah Adat dapat dibina dengan matlamat mengelak kepupusan identiti orang asal khususnya di Borneo.
“Penerima Anugerah Khas Prihatin Sabah telah dinilai secara profesional berdasarkan pencapaian mereka melalui kegiatan sosial, program diperingkat lokal mahupun peringkat kebangsaan.
“Selain itu, pencapaian juga dinilai berdasarkan maklum balas dan impaknya kepada masyarakat secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu.
Sunduan Nabalu mencetuskan fenomena apabila mewujudkan lima sekolah adat menggunakan keringat sendiri tanpa bantuan kerajaan di lima daerah dalam masa dua tahun.
Sekolah itu terletak di Kampung Lomawang Tuaran yang dijadikan ibu pejabat sekolah, satu di Tongod, Nabawan, Kiulu dan Telipok. Ada tujuh lagi sekolah dalam pembinaan. Misi Sunduan adalah untuk membina satu sekolah adat di setiap daerah.
Pencapaian terbaru ialah kolaborasi dengan Borneo Institute for Indigenous Studies (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah dalam memperkasa sukatan pelajaran dan penerbitan buku teks bagi Sekolah Adat Anak Negeri Sabah melalui Perjanjian Penyelidikan.
Kerja-kerja yang dilakukan Sunduan Nabalu mendapat maklum balas yang sangat baik daripada masyarakat sehingga mereka sedang dalam perancangan untuk diiktiraf oleh UNESCO.
Awal Ogos ini satu inspirasi #roadtoUNESCO diusahakan untuk menyenaraikan SA Sabah di bawah cakupan Warisan Tidak Ketara UNESCO (UNESCO Intangible Cultural Heritage List’s Register of Good Safeguarding Practices).
Perjanjian penyelidikan dengan BorIIS itu akan memudahkan SA menghampiri kelayakan untuk disenarai sebagai Sekolah Adat dalam senarai Good Safeguarding Practices yang dianugerahkan UNESCO epada badan-badan yang berjaya mengatasi cabaran dalam menjaga amalan budaya dan adat mereka untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
Sekolah Adat juga pernah berkolaborasi dengan Institut Pengajian Tinggi seperti Universiti Putra Malaysia(UPM) dan INTI Internasional Kolej untuk melihat kerjasama yang boleh dilaksanakan.
Anugerah anjuran Kelab Masyarakat Prihatin Sabah bersama Lizzie Fitness Academy di Nexus Karambunai Resort baru-baru ini adalah NGO yang paling aktif di Sabah dalam usaha membantu masyarakat dan mempromosikan kesihatan.
Kelab Masyarakat Prihatin Sabah yang dipimpin Chrisnadia Sinam yang juga seorang teknologis banyak menjalankan usaha membantu masyarakat terutama sekali dalam bidang pendidikan diperingkat Sekolah dan juga kebajikan secara umumnya.
Manakala, Lizzie akademi yang diasaskan oleh Lizzie Joannes mengkhusus kepada kempen dan promosi kesihatan melalui aktiviti sukan dalaman seperti tarian dan sebagainya.
Turut menerima penghargaan pada malam gemilang tersebut ialah Dato’ Paduka Rehan Rahim – Usahawan Wanita, Ching Mee Sapai – Pengasas Pusat Jagaan Tolumis Tuaran, Zubaidah Tahir – Aktivis Masyarakat dan Tugi binti Kamis@Zaiton – Penggiat Seni Tarian Tradisi Lotud.
Sementara itu, Shalmon amat menghargai anugerah yang telah diberikan oleh Kelab Masyarakat Prihatin ini kerana tidak pernah terfikir satu hari nanti usaha ini akan dihargai oleh mana-mana pihak.
“Ia merupakan satu penghargaan besar kepada semua guru Sekolah Adat yang telah bekerja tanpa mengharapkan balasan dan sekurang-kurangnya ia boleh menjadi pendorong kepada seluruh warga Sunduan Nabalu untuk bekerja dengan lebih keras lagi demi mengekalkan identiti orang asal,” katanya dalam kenyataan.