Dr George
Oleh Hardy Joe
KOTA MARUDU (Rabu 16 Ogos): Penduduk di daerah ini dan sekitar dipelawa mengunjungi bazar peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Marudu di Botung Farm Villa, Jalan Damai-Masolog di sini, 22 Ogos ini.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kota Marudu, Datuk Dr George Sangkin, berkata bazar sehari itu diadakan sempena sambutan hari penternak dan nelayan. Acara akan dibuka seawal jam 8 pagi kepada pengunjung.
“Pengisian program sehari itu ceramah tanaman nanas MD2 diadakan secara percuma kepada mereka yang berminat.
“Apa yang perlu dilakukan pengunjung hanya perlu hadir dan daftar sebagai peserta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, menerusi ceramah itu maklumat berkaitan penanaman nanas jenis itu akan dijelaskan kepada peserta.
Katanya, pameran dan jualan agromakanan termasuk beras dan sayur-sayuran turut diadakan.
Dr George berkata, cabutan tiket bertuah juga diadakan dengan menyediakan banyak hadiah menarik untuk dimenangi.
Sehubungan itu, beliau menjemput penduduk daerah ini dan sekitar tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar itu.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Fairuz Bandar menyempurnakan perasmian bazar itu.