KOTA KINABALU : – Semangat Ramadan terus disemarakkan melalui Program Bubur Lambuk anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dengan kerjasama Adabi dan Petronas.
Sebanyak tujuh periuk bubur lambuk telah disediakan untuk diagihkan kepada pelbagai pihak dalam komuniti.
Antara penerima bubur lambuk ialah balai bomba di Zon Kota Kinabalu, Balai Polis Manggatal, Inanam, King Fisher, enam buah masjid sekitar Kota Kinabalu, rumah anak yatim, serta pelanggan di stesen Petronas terpilih.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JBPM Sabah yang mewakili Pengarah, bersama semua Penolong Pengarah Bahagian dan Ketua Zon Kota Kinabalu 1.
Turut mencuri tumpuan adalah semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh semua peserta, termasuk kehadiran Timbalan Pengarah yang bersama-sama membantu dalam proses pembungkusan bubur lambuk.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi dan masyarakat, tetapi juga menjadi wadah untuk menyemai nilai kebersamaan serta semangat berkongsi rezeki dalam bulan yang penuh keberkatan ini.