Home Berita Penganjuran Pesta Kaamatan perlu ditambah nilai untuk tarik kehadiran pengunjung – Dr...

Penganjuran Pesta Kaamatan perlu ditambah nilai untuk tarik kehadiran pengunjung – Dr Yusof

Dr Yusof memukul gong simbolik perasmian,penutupan Pesta Kaamatan Daerah Sipitang 2025

SIPITANG : – Penganjuran sambutan Pesta Kaamatan Daerah Sipitang pada masa akan datang perlu ditambah nilai bagi menarik kehadiran orang ramai khususnya pengunjung dari luar ke daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, antara aktiviti yang boleh ditambah nilai antaranya melaksanakan Pesta Makanan yang dapat membuka ruang kepada para peniaga makanan dan usahawan menjana pendapatan.

“Saya berharap ia dapat dilaksanakan pada penganjuran tahun hadapan dan tidak tertumpu kepada satu acara sahaja sebaliknya dimeriahkan dengan beberapa acara lain bagi menarik kehadiran ramai pengunjung ke daerah ini khususnya di Pekan Sipitang,” katanya pada Majlis Perasmian dan Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sipitang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Sipitang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia yang juga Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M. Zahari.

Pada pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Daerah Sipitang, Michelle Labo dinobatkan juara, naib juara Stevalynda Aldera Salincius dan ketiga, Alvira Joan Egol Basintal.

Hadiah kepada enam peserta akhir disampaikan oleh isteri kepada Dr Yusof, Datin Azizah Beniamen.

Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, ini juga sejajar dengan usaha berterusan menjadikan Sipitang sebagai destinasi pelancongan menerusi penganjuran pesta perayaan berasaskan kesenian dan kebudayan suku kaum di daerah ini.

Beliau juga mahu, syarikat-syarikat yang ada di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dilibatkan pada penganjuran Pesta Kaamatan pada tahun hadapan untuk mereka menghebahkan aktiviti mereka khususnya berkaitan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

Pada masa sama, katanya, penganjuran pesta dan perayaan ini akan memberi limpahan dan manfaat kepada penduduk daerah ini khususnya dalam menjana pendapatan khususnya dari aktiviti perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Pesta Kaamatan ini bukan sahaja menjadi perayaan utama kepada kaum Kadazan, Dusun dan Murut tetapi menjadi landasan penting kepada usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negeri ini tanpa mengira agama.

Menurutnya, Sabah memang terkenal dengan rakyatnya hidup dalam suasana harmoni dan bertoleransi biarpun mempunyai 37 suku kaum dengan 70 sub etinik.

“Justeru itu, suasana hidup harmoni rakyat negeri ini harus kita jaga dan menolak mana-mana anasir luar yang cuba memecah belahkan suasana ini,” kata Dr Yusof.

Exit mobile version