Home Berita Kaamatan bakal diangkat sebagai Khazanah Negara

Kaamatan bakal diangkat sebagai Khazanah Negara

Shalom (duduk kanan) bergambar bersama jawatankuasa pakar warisan adat kebangsaan di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR : Dengan inisiatif Pertubuhan Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah (Sunduan Nabalu) perayaan Tadau Kaamatan kini bakal diiktiraf sebagai Khazanah Negara – satu lagi pencapaian bersejarah yang akan menjadi satu kebanggaan rakyat dalam Borneo.

Selain Kaamatan, perayaan orang Sarawak iaitu Hari Gawai juga akan turut mendapat pengiktirafan itu.

Adat tradisi rakyat di dua negeri Borneo akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya sesuai dengan kedudukan penting mereka dalam Malaysia.

Presiden Sunduan Nabalu Shalmon Sanangan berkata, pengiktirafan bersejarah itu akan memperkukuhkan lagi kepelbagaian warisan budaya Malaysia.

“Ia secara langsung akan mengetengahkan warisan dan kebudayaan Sabah dan Sarawak di mata Malaysia. Ini adalah satu pencapaian bagi masyarakat orang asal di Borneo,” katanya baru-baru ini.

Beliau  berkongsi khabar gembira ini selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pakar Warisan Adat Kebangsaan di Jabatan Warisan Negara, Kuala Lumpur dua awal Julai ini.

Shalmon yang mengasas sekolah adat anak negeri Sabah (SAANS) adalah salah seorang ahli jawatankuasa itu di mana beliau membentangkan betapa perlunya sambutan tradisi dua negeri itu yang dirayakan setiap tahun diangkat sebagai khazanah negara.

Katanya, pengiktirafan ini adalah manifestasi penghargaan tertinggi negara terhadap warisan budaya dan amalan adat unik masyarakat asal Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pengiktirafan sebagai Khazanah Negara ini bukan sahaja menjadi lambang penghormatan, tetapi langkah proaktif bagi memastikan kekayaan budaya dan tradisi Malaysia terus berkembang.

Beliau menekankan bahawa penyenaraian perayaan ikonik ini ke dalam kategori Warisan Tidak Ketara Negara bukan sahaja mengangkat martabatnya, malah akan menyediakan rangka kerja dan garis panduan yang jelas kepada kerajaan.

“Ini penting bagi memastikan usaha pemuliharaan, pemeliharaan dan pengekalan amalan adat ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan untuk generasi kini dan akan datang.

“Tambahan pula, pengiktirafan ini akan menjadi sumber rujukan dan bahan kajian yang tidak ternilai bagi ahli akademik, penyelidik dan sesiapa sahaja yang berminat mendalami kekayaan budaya Malaysia,” jelasnya lagi.

Mesyuarat penting yang berlangsung sepanjang hari itu dipengerusikan oleh
Tan Sri Datuk Wira Prof. Dr. Abdul Latif Abu Bakar sebagai pengemudi jawatankuasa.

Banyak agensi dan jabatan kerajaan turut hadir dalam mesyuarat itu.

Beliau menambah tujuan mesyuarat itu adalah untuk memberi cadangan amalan adat mana satu yang perlu diiktiraf sebagai Khazanah Negara.

“Saya bersyukur selepas membahas dan membentang akhirnya kami dapat meyakinkan mereka untuk bersetuju dan menyokong penuh dua perayaan ikonik bagi Sabah dan Sarawak itu diangkat sebagai salah satu khazanah Malaysia,” katanya.

Kata Shalmon, perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek warisan adat kebangsaan telah diadakan, mencerminkan komitmen serius Jabatan Warisan Negara dalam melindungi khazanah budaya bangsa.

Exit mobile version