Lewis Wong

Sistem air graviti Kampung Kionsom kini semakin kering.
Turbin buatan sendiri juga sudah kelihatan di antara batu-batu anak sungai yang memegang paip.
KOTA KINABALU: Ribuan penduduk Inanam tidak terkecuali daripada terkesan masalah kekurangan bekalan air di mana ia bertambah buruk ketika musim kering yang sedang melanda sekarang.
Penggerak Parti Warisan Inanam Lewis Wong berkata, penduduk di Bukit Saazo di Minintod misalnya adalah antara kampung yang paling teruk mengalami kekurangan bekalan air.
“Lebih 100 penduduk yang tinggal di sana mengharap air hujan selama Ini. Tiada air hujan tiadalah air. Bekalan air daripada kerajaan tidak cukup sampai kepada mereka.
“Dengan berita ramalan kemungkinan berlaku kemarau sekarang, penduduk di sana akan terus menderita jika tiada usaha dibuat dengan segera.
“Beberapa pemimpin berprofail tinggi yang tinggal di sana juga tidak menerima air tetapi mereka ada sumber kewangan yang lebih baik dan menyambut air daripada bawah tanah yang kemudian ditakung dalam tangki khas,” katanya.
Beliau sedih kerana sepatutnya Inanam sebagai pekan paling dekat dengan bandaraya Kota Kinabalu tidak terlalu menderita dengan masalah kekurangan air seperti yang turut dialami penduduk di daerah-daerah lain.
Namun katanya, perkara itu bukan lagi menghairankan kerana banyak tempat dalam bandaraya pun menghadapi masalah yang sama dan yang paling teruk dan menjadi tular di pelbagai media ialah krisis air di UMS.
Menurut Lewis, masalah tiada air adalah antara tiga masalah di Sabah yang memerlukan perhatian kerajaan. Dua lagi masalah itu adalah masalah bekalan elektrik dan jalan raya yang teruk.
“Tiga masalah ini kita namakan sebagai masalah ‘tiga serangkai’ dan ia memerlukan perhatian mendesak daripada kerajaan,” katanya menambah tugas ini mencabar tetapi boleh dilakukan jika pemerintah benar-benar mahu menyelesaikannya.
Lewis berkata, isu tiada air di Inanam memerlukan komitmen kerajaan, penglibatan komuniti dan pengurusan projek yang cekap sebagai kunci untuk memastikan bekalan air sentiasa ada.
“Inanam adalah daerah yang semakin maju kerana ia berdekatan dengan bandaraya Kota Kinabalu. Daerah ini berdepan dengan isu ini kerana peningkatan permintaan kepada sumber paling penting ini.
“Jumlah penduduk yang semakin ramai ini membuka penempatan-penempatan baru seperti rumah, kedai-kedai dan pembangunan infrastruktur lain. Pertumbuhan penduduk dan pengembangan bandar ini menjejaskan infrastruktur air sedia ada,” katanya kepada Talantang News.
Sehubungan itu, untuk menyelesaikan krisis ini, beliau menyarankan memberi tumpuan kepada dua projek pembangunan iaitu menaik taraf sistem graviti air sedia ada dan mempercepatkan pembinaan loji air di Telibong.
Kata Lewis, sistem graviti air yang ada di Inanam sudah lama diguna. Banyak kampung bergantung kepada air graviti dari kawasan tadahan tetapi sistem itu sudah lapuk menyebabkan banyak paip bocor, tekanan rendah dan bekalan yang tidak konsisten.
Masalah terlalu bergantung kepada sumber tadahan hujan adalah tidak cekap dan kolot kerana apabila berlaku kemarau ia mengurangkan ketersediaan air di kawasan tadahan.
Namun kata Lewis, sistem graviti masih relevan kepada penduduk kampung terutama mereka yang tinggal di kawasan tanah tinggi. Sistem ini perlu dinaik taraf dengan memulihkan sistem tadahan, membaiki dan menaik taraf empangan, saluran paip dan tangki simpanan untuk meminimumkan kerugian.
“Sistem pengepaman dan pengedaran air baharu perlu dibuat. Memasang booster pam dan menggantikan peralatan saluran paip yang moden untuk memastikan tekanan yang konsisten.
“Sumber air alternatif pula ialah meneroka telaga air bawah tanah atau loji rawatan berskala kecil untuk kawasan terpencil. Penduduk juga boleh mengurus air secara komuniti dengan melatih komuniti tempatan untuk menyelenggara dan memantau sistem air secara mampan,” jelasnya.
Cara kedua adalah mempercepatkan pembinaan loji rawatan air di Telibong Tamparuli. Ini adalah penyelesaian lebih mampan.
Menurut JAN kalau siap, loji Telibong boleh selesaikan masalah bekalan air di bandaraya dan sekitarnya tetapi janji untuk menyiapkan projek itu pada 2021 belum kesampaian.
Lewis menggesa pembinaan loji itu disegerakan dan mencadangkan peruntukan dana negeri atau persekutuan disalurkan tepat pada masanya dan memastikan hanya mengambil kontraktor cekap yang mempunyai prestasi baik.
Penyelarasan di antara pihak terbabit dalam projek ini juga perlu diperbaiki seperti urusan pengambilan tanah dan kelewatan logistik antara agensi iaitu Jabatan Air Sabah, kontraktor dan pihak berkuasa tempatan.
Penyelesaian jangka pendek sekarang ialah menyediakan tangki air sementara atau unit rawatan mudah alih sementara menunggu loji itu siap.
Beliau enggan menuding jari mencari kesalahan pihak tertentu, tetapi percaya kunci untuk memastikan bekalan air di Inanam dan tempat-tempat lain di Sabah adalah komitmen daripada kerajaan, komuniti dan pengurusan projek yang cekap.