Home Berita Joniston mahu segmen anti-buli dalam program sekolah

Joniston mahu segmen anti-buli dalam program sekolah

Joniston menyapa murid-murid di program Perkhemahan Perpaduan MADANI Unit Beruniform Sekolah Rendah Negeri Sabah 2025 di SK Taginambur.

KIULU : – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menggesa supaya segmen anti-buli dimasukkan dalam program sekolah bagi memupuk sifat empati, kebaikan, dan interaksi sosial yang selamat dalam kalangan pelajar susulan kebimbangan terhadap isu buli di sekolah.

Beliau berkata sekolah memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar tentang kesan buli, baik secara fizikal mahupun dalam talian, serta mewujudkan persekitaran yang menekankan rasa hormat dan belas kasihan.

“Mungkin pihak sekolah boleh mempertimbangkan untuk mengadakan kempen anti-buli. Pelajar mesti belajar menjadi sahabat yang baik, mengelak daripada mengejek atau mengasingkan rakan, serta sentiasa membantu rakan yang memerlukan.

“Pengajaran ini sama pentingnya dengan ilmu akademik kerana ia membentuk sahsiah dan kesejahteraan emosi anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan Perkhemahan Perpaduan MADANI Unit Beruniform Sekolah Rendah Negeri Sabah 2025 di SK Taginambur pada Rabu.

Joniston turut menasihati tentang risiko yang semakin meningkat dalam dunia digital, termasuk pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, penipuan dalam talian, dan buli siber.

Beliau menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau penggunaan gajet oleh anak-anak dan membimbing mereka untuk menggunakan internet dengan bertanggungjawab dan selamat.

“Pemantauan penggunaan gajet bukan lagi pilihan, tetapi tanggungjawab. JTanpa bimbingan, anak-anak berisiko terdedah kepada bahaya dunia dalam talian,” tegas beliau, menekankan bahawa intervensi awal penting untuk melindungi anak-anak daripada pengaruh digital yang merbahaya.

Joniston, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, menambah bahawa program seperti Perkhemahan Perpaduan MADANI Unit Beruniform membantu pelajar membangunkan kemahiran hidup yang penting.

Program yang disertai pelajar, guru, dan ibu bapa ini bertujuan menanam disiplin, semangat berpasukan, dan kemahiran kepimpinan serta memupuk perpaduan dalam kalangan peserta daripada pelbagai latar belakang.

Beliau juga menggalakkan pelajar untuk menghargai keindahan semula jadi dan kepelbagaian budaya Sabah, sekali gus memupuk semangat menjadi duta muda pelancongan negeri pada masa hadapan.

Exit mobile version