Home Berita Sandakan perkasa kearifan lokal dan galakan pelajar terokai stem dan inovasi

Sandakan perkasa kearifan lokal dan galakan pelajar terokai stem dan inovasi

Dr Ramzah Dambul…Ia juga diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berfikiran kreatif, berakar.

SANDAKAN :  – Daerah Sandakan menjadi lokasi ketiga bagi penganjuran serentak Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal dan STEMQuest Ignite 2025.

Program ini yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan pada 20 hingga 21 September 2025 adalah di bawah naungan Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) 2025.

Program ini dianjurkan oleh Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS Sabah) dengan kerjasama strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) serta turut disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT).

Melalui penganjuran ini, generasi muda bukan sahaja berpeluang mendalami warisan budaya tempatan, tetapi juga didorong untuk meneroka penyelesaian baharu yang kreatif dan relevan dengan cabaran semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, menegaskan bahawa program ini bukan sahaja penting untuk mengekalkan keunikan kearifan lokal Sabah, malah mampu mewujudkan ruang bagi pelajar untuk mengembangkan minat terhadap STEM melalui pengalaman langsung yang kreatif dan berasaskan komuniti.

Menurut beliau, gabungan inovasi berasaskan STEM dengan nilai kearifan lokal akan menghasilkan penyelesaian inklusif yang sesuai dengan realiti masyarakat Sabah serta memberi manfaat kepada pembangunan negeri dalam jangka panjang.

Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal memberi fokus kepada usaha mengumpul dan mendokumentasikan pengetahuan tradisional Sabah agar ia dapat diketengahkan dan dikembangkan sebagai sumber identiti serta potensi ekonomi negeri.

Sementara itu, STEMQuest Ignite 2025 berperanan sebagai platform bagi murid sekolah rendah dan menengah untuk membina minat terhadap STEM melalui pendekatan kreatif, penyelidikan dan aktiviti penyelesaian masalah yang berpaksikan kepada isu-isu komuniti.

Penganjuran di Sandakan ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak komuniti di seluruh Sabah untuk membudayakan inovasi yang berpaksikan kearifan lokal dan sains.

Ia juga diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berfikiran kreatif, berakar kepada budaya sendiri, serta bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negeri yang mampan dan sejahtera.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat IDS Sabah di talian 088-450500 atau e-mel ke info@ids.org.my

Exit mobile version