Home Berita PRU Sabah: 70 peratus pengundi Karambunai sokong GRS

PRU Sabah: 70 peratus pengundi Karambunai sokong GRS

Datuk Arshad Idris…rakyat Karambunai mahu GRS kekal menerajui kerajaan negeri selepas 29 November.

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi DUN Karambunai, Datuk Arshad Idris yakin sokongan pengundi di kawasan itu memihak kepadanya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Beliau berkata, 70 peratus daripada lebih 30,000 pengundi di kawasan itu menyokong GRS berdasarkan maklum balas yang diterima sejak mula turun padang selaku Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karambunai tiga tahun lalu hingga sekarang.

Katanya, sokongan baik itu menunjukkan rakyat di Karambunai mahu GRS kekal menerajui kerajaan negeri selepas 29 November ini.

“Selama tiga tahun saya berada di kawasan ini di mana saya telah melawat ke seluruh pelusuk kawasan yang ada di Karambunai ini, alhamdulillah, setakat ini sokongan terhadap GRS mencapai 70 peratus.

“Rakyat di Karambunai ini mahu GRS membentuk semula kerajaan selepaa pilihan raya nanti yang tidak lama lagi,” katanya ditemui media selepas program Ziarah Kasih di Kampung Tobobon Baru, di sini, pada Sabtu.

Beliau ditanya maklum balas pengundi terhadapnya sepanjang seminggu berkempen yang kini berbaki kira-kira seminggu lagi sebelum hari mengundi pada Sabtu depan.

Sementara itu, mengenai lawatannya, beliau berkata, selain melawat orang sakit dan memerlukan perhatian, kehadirannya ke Kampung Tobobon Baru juga untuk melihat keadaan kampung yang memerlukan pembelaan.

Katanya, kampung berkenaan sudah diwartakan sebagai perkampungan dan usaha akan dilaksanakan bagi menambah baik keadaannya jika diberi mandat pada PRU Sabah Ke-17.

Dalam pada itu, katanya walaupun belum menjadi wakil rakyat, beliau sudah membantu usaha mewartakan 10 kampung tradisi di sekitar Karambunai.

“Kita telah menggazet 10 buah kampung tidak termasuk Kampung Tebobon Baru kerana Tebobon Baru ini telahpun digazet sekian melalui Majlis Ugama Islam Sabah dan kita telahpun mengetahui perkara ini.

“Maka ini menyenangkan hati kita kerana tanggungjawab kami dan kelulusan telah diberikan oleh Pejabat MUIS, maka sehingga hari ini mereka tidak mempunyai keraguan lagi untuk tinggal di tempat ini,” katanya.

Katanya, beliau sendiri turut terbabit dalam penyukatan beberapa kampung termasuk Kampung Teluk Layang dan Kampung Kuala di mana saya sendiri turun bersama-sama dengan juru ukur dari Jabatan Tanah dan Ukur bagi mengukur sempadan di kawasan itu mengikut kesesuaian dan keluasan yang telah diberikan kelulusan,” katanya.

Exit mobile version