Anwar…..Langkah itu bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menambah peruntukan program subsidi bersasar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 sebanyak 20 peratus iaitu kepada RM1.5 bilion, berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
Katanya, seramai 8.4 juta penerima STR Fasa 2 bakal menerima bayaran antara RM100 hingga RM650 bermula Rabu ini (3 April).
STR Fasa 2 akan melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650.
“Ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.
“InsyaAllah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank.
Bayaran tersebut juga disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Menurut MOF, mulai 2024 kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim boleh didapati di portal rasmi STR, melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my.
Susulan itu, MOF turut menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. – Scoop