Gambar dan nombor pendaftaran kereta suspek.
Oleh Nilam Raon
SEMPORNA: Polis masih mencari seorang pemandu kereta yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar pejalan kaki warga emas dalam kejadian kemalangan pada 19 Julai lalu, di Jalan Kg Selamat, Jalan Pesisiran Pantai di sini.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan nombor pendaftaran SB602G dipandu suspek, telah hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang sedang berjalan di bahu jalan.
Menurutnya, pemandu itu kemudian telah melarikan diri selepas kejadian.
Mangsa berumur 62 tahun sudah dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia pada 20 Julai lalu.
“Usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian untuk tampil memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan media, Rabu.
Jelasnya, segala maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021.
Kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.