Penutup longkang yang reput di Jalan Anggor, Tuaran.

Oleh Hardy Joe
Foto Mohd Syukrie Johary
TUARAN: Longkang yang tidak ada penutup adalah antara masalah yang belum diselesaikan di pekan ini dan penduduk mahu pihak berkuasa tempatan memperbaikinya sebelum ia mencederakan orang ramai.
Tinjauan dibuat menunjukkan banyak penutup longkang sudah berkarat, tidak rata dan terjungkit. Malah ada bahagiannya yang tidak bertutup dan ini akan membahayakan pengguna jalan jika ada yang tersandung dan terjatuh.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti memperbaiki parit-parit ini yang tiada penutup. Dan pembaikan mestilah sempurna. Jika tidak pejalan kaki akan cedera jika tersandung,” kata Edward Lim.
Katanya, kemudahan paling asas dalam pekan itu sepatutnya diambil perhatian berat oleh PBT kerana membabitkan keselesaan serta keselamatan orang ramai.
“Ini tidak, mana perkara yang kurang penting namun memberi keuntungan besar kepada PBT, itu yang mereka dahulukan. Perkara itu tidak seharusnya berlaku.
“Takkan tunggu berlaku kecederaan atau kematian berpunca masalah itu, baru tindakan dilakukan menutup longkang yang terdedah,” katanya.
Beliau berharap permasalahan itu dapat diselesaikan segera PBT, sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Benson Jomi, 52, pula mendakwa masalah sama tidak hanya berlaku di kaki lima kedai, malahan di kawasan letak kenderaan banyak penutup longkang hilang atau reput.
“Saya pernah menyaksikan tayar kenderaan terperosok dalam lubang ketika hendak parkir di situ, kerana penutup longkang berkarat dan reput.
“Jika kerosakan itu tidak dibaiki segera, tidak mustahil masalah sama boleh berulang kepada orang lain,” katanya.
Sehubungan itu, mereka berharap PBT akan memantau kemudahan di kawasan pentadbiranya supaya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat digunakan.