Datuk Wilfred Madius Tangau
Oleh Hardy Joe
TUARAN (Selasa 1 Ogos): Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyarankan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menempatkan lebih ramai doktor pakar yang berpengalaman di Hospital Tuaran untuk memenuhi keperluan.
“Saya dimaklumkan bahagian kecemasan Hospital Tuaran tidak mempunyai doktor pakar, manakala doktor yang ada pula kurang berpengalaman.
“Kebanyakan doktor yang bertugas di hospital sini adalah doktor muda yang baru bekerja dalam dua tahun. Mereka kurang berpengalaman,” katanya.
Katanya, mereka mahu mengelak kejadian yang berlaku baru-baru ini di mana seorang penduduk di sini meninggal dunia dipercayai tidak menerima rawatan yang sepatutnya.
“Minggu lalu, seorang pesakit dikatakan mengalami kesakitan akibat terjatuh dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran. Mengikut cerita, keluarga pesakit itu dibawa ke hospital daerah kerana rumah mereka terletak berdekatan.
“Selepas pemeriksaan kesihatan, pihak hospital mendapati tiada masalah serius dialami mangsa dan membenarkan pesakit pulang. Namun hari berikutnya, keadaan mangsa semakin teruk dan keluarganya membuat keputusan membawanya ke sebuah klinik swasta.
“Klinik swasta mengesahkan mangsa mengalami pendarahan dalam perut dan memerlukan pembedahan. Klinik terbabit tidak dapat melakukan pembedahan kerana tidak mempunyai peralatan lengkap,” jelas Tangau.
Tangau mempersoalkan kenapa Hospital Tuaran tidak membuat diagnosis yang tepat tetapi sebaliknya membenarkan pesakit itu pulang.
Tangau mendakwa kes seumpama itu bukan yang pertama kali berlaku dan meminta agar KKM mengambil serius perkara itu.