Datuk Seri Hajiji Noor Datuk Seri Anwar Ibrahim
KOTA KINABALU (Selasa 1 Ogos): Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini adalah apa yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu dan berkata, mempunyai lebih autonomi akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.
“Penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan akan lebih memudahkan Kerajaan Negeri melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan termasuk isu pelantikan perjawatan perguruan, sepertimana yang diharapkan rakyat negeri ini.
“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini,” katanya di Majlis Penyampaian
Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.
Hajiji yakin, dengan adanya autonomi ini, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri ini.
Pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang masalah rakyat di kawasan sendiri. Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan masalah rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada 2022 bagi melaksanakan beberapa inisiatif pendidikan untuk memperkukuhkan dan melahirkan modal insan negeri ini yang berilmu demi membentuk masa depan yang gemilang.
Katanya, antara inisiatif pendidikan ialah pemberian BUDI (Pendaftaran IPT Secara One Off), BISTARI (Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah), BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperiksaan), BAGUS (Bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)), AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah), BISBAH (Bantuan Ihsan Sekolah Sabah) dan BAIK (Bantuan Ihsan Komputer).
Beliau berkata, inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada 41,590 pelajar, 3,044 bayi dan 1,500 buah sekolah serta 630 PIBG.
Sementara pada tahun ini, sebanyak RM43 juta telah disediakan Kerajaan Negeri dalam bajet 2023 untuk tujuan yang sama.
Katanya, inisiatif ini berupa bantuan tunai pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan, sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada PIBG.
Semua inisiatif itu terbukti mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dan B40.
Menurutnya, tahun ini dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).