Nizam (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MOU antara Hikmah Centre dan RBTS menjadi rakan strategik umrah.
Oleh Nilam Raon
TAWAU (Sabtu 5 Ogos): Syarikat pengendali perkhidmatan umrah diseru tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya fokus dalam penyediaan kemudahan dan keselesaan jemaah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengurusan umrah perlu komited menawarkan perkhidmatan terbaik bagi membolehkan jemaah dapat menjalani ibadah umrah dengan penuh ketakwaan.
Menurutnya, pulangan dan keuntungan yang diperoleh perlu dilihat hanya sekadar imbalan daripada Allah S.W.T dan juga sebagai amalan soleh yang diberkati di dunia dan akhirat.
“Kita mengalu-alukan syarikat pengendali umrah untuk bertapak di negeri dan daerah di Sabah ini untuk memberi kemudahan kepada umat Islam di sini bagi menunaikan ibadah umrah dan berkunjung ke tanah suci,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas berkata ketika ditemui pada Majlis Maal Hijrah dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) di sini Sabtu.
MOU telah berlangsung membabitkan Hikmah Centre dengan Raudhah Borneo Travel And Services Sdn Bhd (RBTS) sebagai rakan strategik umrah.
Nizam berkata, pengurusan umrah juga perlu mengambil inisiatif dalam memberi khidmat berkaitan aktiviti dakwah dan keagamaan yang boleh memberi manfaat kepada perkembangan Islam di negeri ini.