Antara ikan jerung dikenalpasti sebagai terancam dan hampir terancam dijual secara terbuka di pasar basah Semporna.
Oleh Nilam Raon
SEMPORNA (Isnin 7 Ogos): Penjualan spesies marin terancam dan hampir terancam secara terbuka di Pasar Basah Semporna menimbulkan kerisauan kepada komuniti penyelam.
Presiden Kelab Skuba Sabah, Sim Fui berkata penguatkuasaan tegas perlu diambil terhadap semua agensi berkaitan bagi melindungi spesies marin yang terancam.
Jika tidak penangkapan hidupan marin terancam ini boleh pupus manakala tindakan menyalahi undang-undang ini boleh menggugat usaha konservasi selain menjejaskan industri pelancongan daerah ini.
Menurutnya, spesies terancam seperti ‘devil ray’ dan ‘bamboo shark’ yang kini dijual secara terbuka di pasar bandar ini adalah antara ikan yang diidamkan oleh penyelam skuba untuk melihat habitat asalnya dalam air.
“Jadi kita perlukan penguatkuasaan lebih ketat dan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penangkapan serta perdagangan haram spesies marin terancam,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, melindungi hidupan marin bukan sahaja perlu sebagai tarikan destinasi aktiviti selaman penyelaman tetapi yang lebih penting adalah memelihara keseimbangan ekologi laut.
“Ikan ‘devil ray’ disenaraikan sebagai spesies yang terancam dan jarang dijumpai di lautan manakala beberapa spesies ikan jerung turut disenaraikan sebagai hampir terancam dalam senarai Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
“Sudah tiba masanya untuk mengadakan program kesedaran mengenai ikan apa yang boleh dan tidak boleh ditangkap oleh para nelayan. Program untuk menyediakan mata pencarian alternatif bagi komuniti nelayan juga perlu dilakukan.
“Ini bagi memastikan hidupan laut ini tidak berakhir di pasar basah,” katanya menambah amalan menangkap dan menjual ikan berharga ini akan menyebabkan impak jangka panjang terhadap kepelbagaian marin dan industri penyelaman.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook, Luma Duyung Semporna menerusi hantaran gambar berkongsi beberapa jenis ikan seperti ikan pari ‘devil ray’, jerung buluh, jerung hitam, ikan landak dan ikan bayan dijual di pasar basah Semporna.
Pendedahan itu menimbulkan kerisauan komuniti penyelam yang berpendapat penjualan ikan terancam ini boleh merosakkan ekosistem marin hingga menjejaskan keindahan dunia bawah air yang menarik pelancong ke daerah itu.