Home Berita Tiga diberkas cuba curi buah sawit 

Tiga diberkas cuba curi buah sawit 

Antara barangan yang dirampas polis dalam kes itu.

Polis berjaya memberkas tiga lelaki dipercayai cuba mencuri buah kelapa sawit.

Oleh Nilam Raon

TAWAU (Isnin 7 Ogos): Cubaan tiga lelaki dipercayai curi buah kelapa sawit gagal apabila mereka berjaya diberkas polis di sebuah ladang Merotai, di sini pada Ahad.

Ketiga-tiga suspek termasuk dua yang tidak memiliki dokumen sah berusia di antara 24 hingga 53 tahun ditahan jam 8.10 pagi selepas polis menerima maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai bergegas ke kawasan ladang berkenaan dan terserempak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati buah kelapa sawit yang sudah dimuat naik ke dalam belakang kenderaan pikap jenis Toyota Hilux dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Susulan itu, polis merampas kenderaan berkenaan bersama 47 tandan buah kelapa sawit bernilai kira-kira RM600 dan dua batang besi.

“Kesemua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri buah kelapa sawit,” katanya.

NO COMMENTS

Exit mobile version