Masidi Manjun
KOTA KINABALU (Rabu 9 Ogos): Peruntukan pembangunan disediakan Kerajaan Negeri kepada semua kawasan DUN setiap tahun bagi membolehkan semua Ahli Yang Berhormat dapat melaksanakan tanggungjawab membangun dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia membuat kajian semula untuk menambah dana atau peruntukan pembangunan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan kemampuan kewangan negeri.
“Peruntukan ini adalah diselaras dan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Abdul Ghani bertanya apakah pihak Kementerian Kewangan akan mengkaji semula dan bercadang untuk menambah dana atau peruntukan pembangunan di setiap kawasan DUN.
Masidi berkata, sejak 2021 peruntukan di setiap kawasan DUN Kerajaan dinaikkan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan Program Sentuhan Kasih.
“Pada tahun 2021, sejumlah RM1 juta diperuntukkan kepada setiap ADUN Kerajaan dengan agihan RM700,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM300,000 untuk Program Sentuhan Kasih.
“Pada tahun 2022, peruntukan kepada setiap ADUN Kerajaan dinaikkan kepada RM2 juta iaitu dengan agihan RM1,500,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 untuk Program Sentuhan Kasih.
“Pada tahun ini, sejumlah RM3 juta telah diperuntukkan kepada setiap ADUN Kerajaan iaitu dengan agihan RM2,500,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 untuk Program Sentuhan Kasih,” jelasnya.
Sehubungan itu Masidi berharap, semua wakil rakyat akan memainkan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kawasan yang diwakili dimajukan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan taraf hidup rakyat.