Home Berita ESScom selaraskan aset Pasukan Keselamatan Di EssZone

ESScom selaraskan aset Pasukan Keselamatan Di EssZone

Victor (lima kiri) bergambar kenangan bersama media pada program itu.

Oleh Nilam Raon

LAHAD DATU (Rabu 9 Ogos): Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) akan mengkoordinasi semua aset pasukan keselamatan dan penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah (EssZone).

Komander ESScom, Datuk Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, perkara itu bagi memastikan isu keselamatan dapat ditangani dengan lebih berkesan sekaligus dapat mengaplikasi penggunaan teknologi terbaik.

Menurutnya, ESScom juga bercadang untuk memperkenalkan penggunaan aplikasi kepada pelancong yang datang ke ESSzone pada masa akan datang bagi tujuan perlindungan keselamatan ketika berada di kawasan itu.

“ESScom akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) untuk tindakan selanjutnya kerana terdapat negara maju yang telah melaksana di negara mereka,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Program Pertandingan Menembak ESScom Bersama Pengamal Media di Lapang Sasar Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali, Timbalan Komander ESSCOM Brigadier Jeneral Roslan Mat Saad dan Pegawai Pemerintah Batalion 17 PGA, Superintenden Victor Cardona. 

Menurutnya, ESScom komited menjaga perairan negara terutamanya di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong kerana menjadi antara penyumbang kepada ekonomi negara dan negeri.

Sementara itu, beliau berkata pengamal media banyak membantu terutamanya dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat berkenaan pengoperasian ESScom.

NO COMMENTS

Exit mobile version