Aaron (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta Jalinan Integrasi Nasional Penjawat Awam Tahun 2023 di Tawau.
Oleh Nilam Raon
TAWAU (Sabtu 12 Ogos): Lafaz ikrar Rukun Negara akan dilaksanakan pada setiap program kerajaan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurutnya, mesyuarat kabinet baru-baru ini telah meluluskan agar ikrar Rukun Negara itu dilafazkan bagi meningkatkan jati diri dan patriotisme rakyat.
“Di Kementerian Perpaduan Negara kita merasakan semangat jati diri melalui melafazkan rukun negara amat penting dan sebelum kita melafazkan Rukun Negara kita mesti membaca mukadimah yang membawa erti perpaduan hidup di Malaysia ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata ketika ditemui media selepas menyempurnakan Penutupan Jalinan Integrasi Nasional Penjawat Awam Tahun 2023 di Tawau pada Jumaat.
Jelasnya, Rukun Negara yang dibentuk daripada peristiwa hitam dalam sejarah negara pada 13 Mei 1969 itu perlu menjadi asas kepada semua dasar dan aktiviti kerajaan.
“Sebelum ini Rukun Negara telah dilafazkan di setiap peringkat sekolah rendah dan menengah namun pada ketika ini semakin berkurangan dan perlu dikembalikan semula,” katanya lagi.
Aaron berkata, lafaz ikrar Rukun Negara itu adalah antara usaha kementeriannya di dalam program semarak kenegaraan untuk menjadikan negara lebih aman, damai dan harmoni.
Sementara itu mengulas mengenai program yang berlangsung selama tiga hari di Kg Balung Cocos itu, Aaron positif ia boleh menjadi medium pembinaan tapak integrasi bagi mengukuhkan pembudayaan perpaduan di setiap lapisan masyarakat.
“Ini adalah satu program yang amat berguna di bawah Kementerian Perpaduan Negara kerana menjadi orientasi kepada pegawai-pegawai yang datang dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah yang mungkin tidak terdedah kepada budaya dan cara hidup orang tempatan,” katanya lagi.