Dr Jeffrey
KOTA KINABALU (Sabtu Ogos 12): Jabatan Perikanan Sabah akan membuka semula Program Pemutihan Pelesenan (Amnesty) 2.0 dan meminta semua nelayan mengambil peluang dalam program ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, langkah ini diambil setelah Jabatan mengambilkira semua aspek serta permintaan daripada para nelayan dan pengusaha dalam industri perikanan tangkap marin.
Katanya, Program Pemutihan Pelesenan 2.0 akan diperluaskan skopnya dengan melibatkan beberapa penambahbaikan syarat-syarat yang merangkumi perikanan tradisi dan komersial.
“Ini bermakna, mana-mana nelayan atau pengusaha perikanan tangkap marin di Sabah yang mempunyai masalah atau isu berkaitan pelesenan perikanan tangkap marin, boleh berhubung terus dengan Pejabat-Pejabat Perikanan Daerah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.
Tahun lalu, sebanyak 131 permohonan telah diluluskan dan dijangkakan tahun ini akan lebih banyak permohonan diterima yang akan memberi manfaat kepada nelayan tradisi dan komersial dalam sektor perikanan tangkap marin di 16 buah daerah.
Program seperti ini katanya, akan membantu melonjakkan lagi perkembangan industri perikanan di Sabah bagi memastikan bekalan ikan tempatan dan untuk eksport sentiasa tersedia dan mencukupi.
Pembukaan semula Program Pemutihan Pelesenan akan bermula Ogos ini dan dijangka dilaksanakan tidak melebih tempoh 3 bulan.
Sehubungan itu, kementerian menyeru kepada semua Nelayan di Sabah untuk mengambil peluang program pemutihan (amnesty) ini kerana, selepas ini jabatan tidak lagi bercadang untuk mengadakan program pada masa terdekat ini.