Home Berita Operasi bersepadu banteras PTI, penyeludupan di ESSCOM

Operasi bersepadu banteras PTI, penyeludupan di ESSCOM

Pihak keselamatan bersiap siaga memberi perlindungan kepada masyarakat.

Sebahagian tahanan dalam operasi bersepadu di Tawau.


TAWAU (Sabtu 12 Ogos):  Sebanyak 68 buah pengangkutan laut atau bot dan seramai 1,887 individu di sekitar kawasan perairan Pulau Sebatik dan Jeti CIQ Lama Tawau diperiksa oleh pihak berkuasa dalam operasi bersepadu selama dua hari.

Daripada jumlah itu seramai 11 pendatang dari Indonesia ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Ini adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Operasi Bersepadu (OB) Daerah Tawau bermula 10 Ogos dan berakhir pada 11 Ogos 2023 di  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Ini dibuat bagi memastikan keselamatan awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) pada tahap yang optimum dan terjamin,” kata Komander Eastern Command, DCP Victor Sanjos.

Operasi Bersepadu ini yang dilaksanakan di sekitar kawasan Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di Bandar Tawau tersebut bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI). 

Selain itu, operasi ini juga dilaksanakan bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar kawasan sempadan antara Malaysia dan Indonesia di Pulau Sebatik, Tawau.

Selain itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menahan seramai sembilan individu dan kesemuanya dibawa ke IPD Tawau untuk saringan ujian air kencing di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

Daripada tahanan tersebut, seramai dua didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut oleh BSJND, IPD Tawau.

Selaras dengan kejayaan Operasi Bersepadu Tawau ini, pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 66 orang pegawai dan anggota yang menjayakan operasi kali ini.

Kejayaan operasi ini adalah hasil usaha berterusan kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM untuk memperkasakan operasi selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ancaman pencerobohan dapat dikekang serta memastikan keselamatan awam di pantai Timur Sabah terjaga.

“ESSCOM akan terus mempergiat operasi bersepadu ke daerah-daerah di ESS Zone bagi menjaga keselamatandan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

NO COMMENTS

Exit mobile version