Hajiji
TAWAU (Sabtu 12 Ogos): Sebanyak RM15 juta bagi menyokong, memperkasa dan memantapkan lagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Selain itu katanya, RM6.17 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan bagi mempergiatkan promosi produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Menurutnya, Program Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Halal diperkenalkan tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.
“Sejumlah RM7.1 juta turut diagihkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi meneruskan usaha menyedia dan membangunkan premis pernigaan, kedai-kedai sosio-ekonomi dan lain-lain program keusahawanan tahun ini.
“Saya mahu usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan, meningkatkan ilmu dan kemahiran agar produk mereka mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SABAHFEC) 2023 Zon Pantai Timur di Majlis Perbandaran Tawau pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Karnival itu dianjurkan Exco Wanita Biro Keusahawanan Wanita Negeri Gagasan Rakyat dengan kerjasama Persatuan Double A Martial Arts Tawau.
“Pembangunan PKS terus diberi tumpuan sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan. Penglibatan pelbagai pihak termasuk Yayasan Sabah dan syarikat swasta seperti PETRONAS dalam membangunkan IKS banyak membantu syarikat swasta di negeri ini,” tegasnya.
Katanya, penganjuran SabahFEC 2023 akan membantu golongan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan kemahiran, selain bantuan geran dana untuk usahawan daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.
Hajiji menyarankan kepada setiap pencari kerja terutama golongan belia memanfaatkan setiap kemudahan, program dan platform pencari pekerjaan serta peluang pekerjaan disediakan kerajaan.
“Manfaatkan portal pekerjaan Sabah Jobs Portal (SJP) dan MyFutureJobs untuk menghubungkan mereka dengan majikan bagi mengelak terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan.
“Langkah ini akan membolehkan mereka peka dengan peluang–peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan. Portal SJP ini khusus untuk rakyat Sabah dan kekosongan jawatan yang diiklankan adalah peluang kerjaya dari seluruh Malaysia,” tegasnya.